SIBU: Hospital kerajaan disaran mendapatkan perkhidmatan kardiologi daripada hospital swasta sekiranya tidak mampu menyediakan kapasiti rawatan yang mencukupi bagi menangani isu tempoh menunggu yang lama dalam kalangan pesakit jantung.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, langkah itu penting bagi memastikan pesakit yang memerlukan rawatan jantung kritikal dapat dirawat dengan segera tanpa perlu menunggu giliran terlalu lama.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan sedemikian mampu menjamin akses rawatan diberikan tepat pada masanya kepada golongan yang memerlukan.
“Jika Kerajaan Persekutuan tidak mampu atau tidak dapat menyediakan perkhidmatan kardiologi, mereka sepatutnya membeli perkhidmatan itu daripada pihak lain daripada membiarkan pesakit menunggu selama bertahun-tahun.
“Di sini, kita sudah mempunyai perkhidmatan kardiologi. Mengapa tidak menghantar pesakit ke sini untuk menjalani angiogram koronari atau angioplasti koronari.
“Jika kerajaan tidak dapat menyediakan perkhidmatan kepada rakyat, maka kerajaan sepatutnya membeli perkhidmatan itu daripada pihak lain demi kepentingan rakyat,” katanya semasa merasmikan Majlis Pelancaran Rasmi Makmal Kateterisasi (CathLab) dan Perkhidmatan Kardiologi Pusat Perubatan Rejang (RMC) di sini hari ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu, pesakit yang berdepan tempoh menunggu lama di hospital kerajaan wajar dirujuk ke hospital swasta untuk rawatan segera.
Beliau menjelaskan bahawa langkah tersebut lebih berkesan dari segi kos kerana kerajaan tidak perlu menanggung perbelanjaan penyelenggaraan kemudahan atau berdepan isu pusingan kerja pegawai perubatan yang tinggi.
“Dari sudut ekonomi, ia adalah pilihan yang lebih baik.
“Kerajaan tidak perlu menanggung kos penyelenggaraan kemudahan dan tidak perlu bimbang mengenai kadar pertukaran doktor yang tinggi.
“Doktor di hospital kerajaan sering meletak jawatan dan berpindah ke tempat lain, manakala pakar di sektor swasta kebiasaannya berkhidmat untuk tempoh yang lebih lama,” katanya.
Dalam pada itu beliau menyifatkan penubuhan CathLab di RMC sebagai satu pencapaian penting yang mampu memperkukuh perkhidmatan rawatan jantung di wilayah tengah Sarawak.
Kemudahan tersebut membolehkan prosedur intervensi koronari perkutaneus (PCI) primer dilaksanakan dengan segera ke atas pesakit serangan jantung sekali gus meningkatkan peluang menyelamatkan nyawa penduduk di Sibu serta kawasan berhampiran termasuk Kapit, Sarikei, Mukah dan Kanowit.
Turut hadir ADUN Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek, Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau Hui Yew, Ketua Pegawai Eksekutif RMC Dr John Tang, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Joshua Ting serta Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh.

