MIRI: Hospital Miri hari ini melaksanakan latihan kebakaran yang antaranya menguji tahap kesiapsiagaan kakitangannya dalam menghadapi situasi kecemasan serta meningkatkan koordinasi dengan agensi luar seperti bomba dan polis.
Latihan bermula 9.18 pagi apabila alat penggera kebakaran berbunyi, menandakan berlakunya kebakaran di Plant Room, Unit Kejuruteraan hospital berkenaan.
Pasukan bomba dan penyelamat tiba di lokasi kejadian pada 9:27 pagi dan segera memasuki kawasan terlibat untuk mengawal kebakaran.
Senario latihan melibatkan pengosongan bangunan tingkat dua dan dua ‘mangsa’ yang perlu diselamatkan, memberikan cabaran yang realistik bagi menguji respons dan kemampuan pasukan kecemasan hospital.
Latihan ini turut melibatkan kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran operasi.
Pada 10:04 pagi, situasi disahkan terkawal oleh pihak bomba dan PDRM, dan latihan tersebut ditamatkan dengan pihak hospital diberikan arahan untuk ‘stand down’.
Objektif utama latihan mengurangkan risiko kemalangan jiwa dan kerosakan harta benda, serta memberikan pendedahan praktikal kepada kakitangan hospital dalam menghadapi ancaman kebakaran.
Latihan sebegini juga bertujuan memperkemas prosedur keselamatan dan memastikan setiap anggota hospital memahami peranan mereka dalam keadaan kecemasan.
Dalam kenyataannya, pengurusan Hospital Miri mengucapkan terima kasih kepada pasukan Bomba dan Penyelamat Lopeng, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri, serta syarikat konsesi yang terlibat dalam menjayakan latihan ini.
Hospital Miri juga memohon maaf kepada pesakit dan pengunjung yang terpaksa menunggu semasa latihan dijalankan.
“Latihan kebakaran ini dilaksanakan setiap tahun untuk memastikan kakitangan hospital sentiasa bersedia dalam menghadapi situasi kecemasan. Kerjasama yang mantap antara hospital, pihak berkuasa, dan sektor swasta kunci utama memastikan keselamatan semua pihak,” ujar pengurusan hospital.
Latihan seperti ini juga memberikan peluang mengidentifikasi dan memperbaiki sebarang kelemahan dalam prosedur keselamatan, bagi memastikan kesiapsiagaan yang lebih tinggi pada masa hadapan.



