MIRI: Hospital Miri sedang mencari waris kepada seorang warga emas yang dipercayai berasal dari Igan, Sibu berusia 80 tahun.
Dalam satu kenyataan, mereka mendedahkan Badan Sanni @ Enturan Sanni, berasal dari Rumah Penguang Sungai Banyok Batang Igan Sibu namun alamat terakhir berasa di Kampung Lusut Jaya 1, Miri.
“Pada 3 Oktober lalu, orang awam telah menjumpai pesakit dan membawanya ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Namun, tiada dokumen pengenalan mahupun waris atau ahli keluarga bersama-sama beliau,” jelasnya.
Pihak hospital juga menjelaskan bahawa sukar untuk mendapatkan maklumat beliau kerana tidak dapat berkomunikasi dengan jelas.
Ditegaskan juga bahawa pesakit tersebut sekarang masih berada di Jabatan Kecemasan dan Trauma, menunggu kedatangan waris untuk menuntut pesakit.
“Usaha mencari waris pesakit telah dilakukan namun sehingga kini masih gagal mengesan kerana tidak mempunyai nombor telefon waris atau saudara terdekat bagi memaklumkan keadaannya,” ujarnya.
Sehubungan itu, ahli keluarga pesakit atau orang awam yang mempunyai maklumat mengenai pesakit tersebut diminta untuk menghubungi Jabatan Kerja Sosial Perubatan di talian 085-460633 atau terus hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Miri dengan kadar segera.

