ARTIKEL

Hospital Petra Jaya dan Lawas Baharu hampir siap sepenuhnya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ZARINA ABDULLAH

KUCHING: Projek Hospital Petra Jaya dan Hospital Lawas Baharu menunjukkan perkembangan memberangsangkan dan dijangka mula beroperasi secara berperingkat tahun ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, projek Hospital Petra Jaya setakat 25 April lalu mencapai kemajuan fizikal sebanyak 91.55 peratus.

Menurutnya, tarikh siap baharu projek selepas lanjutan masa kelima ditetapkan pada 14 Julai 2026.

“Ketika ini kontraktor sedang menyiapkan kerja dalaman sebagai persediaan pemasangan peralatan perubatan.

“Selepas penyerahan dibuat, Hospital Petra Jaya akan mula beroperasi secara berperingkat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian pada penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Sementara itu, ujarnya, Hospital Lawas Baharu pula kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 97.39 peratus setakat 20 April lalu dan dijangka siap sepenuhnya serta mula beroperasi menjelang Disember tahun ini.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan pemeriksaan menyeluruh sebelum penyerahan dibuat bagi tujuan pemindahan perkhidmatan hospital ke fasiliti baharu tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak menerima peruntukan operasi sebanyak RM2.75 bilion dan dana pembangunan RM507.3 juta daripada KKM bagi tahun ini.

Katanya, peruntukan tersebut digunakan untuk menampung kos operasi, pembangunan modal insan, kerja naik taraf dan pembaikan fasiliti kesihatan serta sokongan perkhidmatan hospital dan klinik termasuk perolehan peralatan perubatan.
“Bagi tahun 2026, KKM turut memperuntukkan RM5.7 juta untuk kerja naik taraf, pengubahsuaian dan pembaikan melibatkan 15 klinik kesihatan serta sebuah Pejabat Kesihatan Daerah di Sarawak.

“Selain itu, RM2.4 juta lagi diperuntukkan bagi kerja pembaikan dan naik taraf 32 kuarters perubatan serta lapan unit berek di Klinik Kesihatan Bario, Klinik Kesihatan Nanga Mujong di Kapit dan Klinik Kesihatan Belawai di Tanjung Manis,” jelasnya.

Beliau berkata, Sarawak juga terus berusaha mendapatkan autonomi kesihatan menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk pengagihan kuasa daripada Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri dalam pengurusan sektor kesihatan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU