SARATOK: Hospital Saratok dinobatkan sebagai johan kontinjen terbaik keseluruhan pada Perhimpunan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Saratok 1448H/2026 yang berlangsung di Masjid al-Muhtadin, di sini, semalam.
Kejayaan itu menyaksikan Hospital Saratok menewaskan 28 kontinjen lain dalam sambutan yang berlangsung dalam suasana sederhana, namun tetap meriah dan penuh penghayatan.
Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Saratok pula muncul naib johan, manakala Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok menduduki tempat ketiga.
Pengarah Hospital Saratok, Dr. Dayang Suhaila Abang Mohamed berkata, kejayaan berkenaan hasil kerjasama erat dan komitmen seluruh warga hospital, selain sokongan Jawatankuasa Hospital Mesra Ibadah (HMI) dan Persatuan Kebajikan dan Rekreasi Kakitangan (PERKIP).
Menurutnya, penyertaan kontinjen Hospital Saratok turut melibatkan ahli PERKIP daripada Pejabat Kesihatan Daerah Saratok dan Klinik Pergigian Saratok yang bersama-sama menyumbang tenaga dan kepakaran bagi memastikan penyertaan tersebut berjalan lancar.
“Kejayaan ini adalah milik bersama, hasil komitmen dan kerjasama semua pihak yang telah berganding bahu dalam menjayakan penyertaan ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga hospital yang terlibat secara langsung mahupun di sebalik tabir, termasuk ketua-ketua unit yang memberikan kerjasama dalam urusan pelepasan tugas anggota masing-masing sepanjang tempoh persiapan.
Penghargaan khusus turut diberikan kepada mereka yang bertungkus-lumus menyiapkan sepanduk, hiasan dan pelbagai persiapan kontinjen sehingga lewat malam.
“Kesungguhan, masa dan tenaga yang dicurahkan menjadi antara faktor penting dalam kejayaan yang dicapai,” ujarnya.
Dalam pada itu, pertandingan sepanduk yang turut diadakan sempena sambutan tersebut disertai 29 pasukan yang dibahagikan kepada tiga kategori.

Bagi Kategori A melibatkan agensi kerajaan, sebanyak lapan kontinjen mengambil bahagian dengan Balai Bomba dan Penyelamat Saratok muncul johan.
Hospital Saratok menduduki tempat kedua, manakala PPD Saratok di tempat ketiga.
Kategori B pula melibatkan enam kontinjen daripada sekolah dan dimenangi Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kupang.
Pengawas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahasa Malaysia Saratok muncul naib johan, manakala Kolej Tingkatan Enam Saratok menduduki tempat ketiga.
Sementara itu, Kategori C yang melibatkan masjid, surau dan badan bukan kerajaan (NGO) disertai 15 kontinjen.
Johan kategori tersebut menjadi milik JKKK Melango Baru Hulu Saratok, diikuti Surau Silaturahim Saratok sebagai naib johan dan JKKK Pagan Saratok di tempat ketiga.
Kesemua hadiah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, yang terdahulu menyempurnakan perasmian Majlis Kesyukuran Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Saratok di Masjid al-Muhtadin.
Majlis tersebut turut diadakan serentak dengan sambutan ulang tahun kelapan Masjid al-Muhtadin.
Turut hadir Pegawai Daerah Saratok merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sambutan, Muhammad Dino Amid; Ketua Masyarakat Melayu Daerah Saratok, Pemanca Sahari Gani; dan Pengerusi Masjid al-Muhtadin, Yusuf Trang.



