KUALA LUMPUR: Sarawak membawa Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2026 ke pentas nasional menerusi pelancaran Pameran Kebangsaan HPTN 2026 di Ekspo Teknologi Jalan Raya dan Trafik MyASEAN (MyARTTE) 2026, hari ini.
Pameran itu dilancarkan bagi pihak Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni.

Ia menjadi platform memperkenalkan visi dan skala HPTN 2026 menjelang penganjuran acara utama di Kuching pada 1 dan 2 Disember depan.
Hazland berkata, profesion teknikal memainkan peranan penting dalam menterjemahkan aspirasi kelestarian kepada kemajuan ekonomi, khususnya ketika negara beralih kepada ekonomi rendah karbon dan berasaskan teknologi.
Menurutnya, pembangunan Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 turut memberi penekanan kepada kelestarian alam sekitar, kemakmuran ekonomi dan keterangkuman sosial, termasuk melalui tenaga boleh diperbaharui, ekonomi hidrogen, pengangkutan mampan, pendigitalan dan pembangunan bakat hijau.
Bertemakan ‘Profesion Teknikal: Memacu Kelestarian’, HPTN 2026 akan menghimpunkan kerajaan, industri, profesional teknikal, akademia, inovator, pelabur, pemain perniagaan dan bakat teknikal generasi akan datang.
Acara itu merangkumi 10 sektor utama termasuk teknologi hijau, elektrik dan elektronik, teknologi maklumat dan komunikasi, teknologi kimia, teknologi atmosfera dan alam sekitar, bangunan dan pembinaan serta teknologi pembuatan dan industri.
Sektor lain meliputi bioteknologi dan teknologi berasaskan agro, pengangkutan, logistik, marin dan maritim serta industri berasaskan sumber, ukur dan geomatik. HPTN 2026 turut dijangka menampilkan enam persidangan utama, kira-kira 238 ruang pameran, 1,500 pempamer dan 5,000 pengunjung.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur HPTN 2026, Datuk Dr Cassidy Morris berkata, pameran kebangsaan itu menjadi langkah penting meletakkan HPTN sebagai platform menghubungkan profesion teknikal dengan industri dan pembangunan ekonomi.
HPTN 2026 akan berlangsung pada 1 dan 2 Disember di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Kuching dan dianjurkan bersama JKR Malaysia, Kementerian Kerja Raya Malaysia, Kerajaan Sarawak serta JKR Sarawak dengan kerjasama kerajaan dan industri.


