Hujan ganggu mimpi indah kami

SARATOK: Setiap kali hujan lebat, hati akan resah dan gusar.

Bukan kerana kami menolak titisan rahmat Tuhan, tetapi yang pasti hujan itu menyebabkan tiang rumah kami akan patah lagi kerana air pasang membawa sekali kayu-kayu besar dari hulu sungai.

Apabila air pasang, arus sungai bertukar deras dan membawa segala batang kayu besar melanggar tiang di bawah rumah kami.

Apatah lagi, tebing semakin terhakis.

Rumah kami seakan-akan berada di tengah-tengah sungai.

Bayangkan pada waktu malam, mimpi kami selalu diganggu oleh hujan dan kayu hanyut – keluh salah seorang penduduk di Rumah Panjang Emplaie Ulu yang terletak kirakira 25 kilometer darPasar Saratok kepada Suara Sarawak petang kelmarin.

Engkabi Entering 89, ketika ditemui berkata, pernah terjadi sebelum ini ketika hujan turun selama seminggu tanpa henti, paras air di Sungai Batang Asam yang berhampiran dengan kediaman naik mendadak.

“Ia tidak berhenti setakat itu. Ia datang dengan hadiah besar berupa kayu-kayu besar sisa aktiviti perladangan di bahagian hulu sungai. Kayu-kayu itu akan melanggar tiang-tiang rumah kami tambahan keadaan rumah tidak begitu kukuh kerana berlaku hakisan,” katanya.

Kejadian yang berlaku beberapa bulan lepas itu masih segar dalam ingatannya sehingga berasa trauma apabila terdengar bunyi titisan hujan yang singgah di atas atap.

Semalam, tidur Engkabi sekali lagi diganggu perasaan takut kerana paras air yang naik mendadak dan lebih malang, ia datang dengan kayu hanyut lebih besar saiznya.

“Jadi saya memohon kepada pihak berwajib agar dapat datang ke sini untuk melihat sendiri kesan hakisan tanah yang berlaku.

Laksana perbincangan bersama kami di sini supaya bersama-sama mencari jalan penyelesaian” katanya dengan nada penuh mengharap.

Sementara itu, Tuai Rumah Emplaie Ulu Gending Danggat berkata, kedudukan Sungai Batang Asam yang terletak terlalu hampir dengan rumah panjang dan tiada penghadang atau tebatan banjir dibina bagi melencongkan pergerakan aliran air.

“Saya berharap selepas ini akan ada pihak berwajib datang melihat sendiri kesan-kesan hakisan tanah di sini.

“Tempat lain terutama di bahagian hadapan rumah panjang ini juga memerlukan perhatian serius kerana ia boleh runtuh pada bila-bila masa.

“Kami bersyukur kerana tidak ada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sehingga ke hari ini. Kami harap masalah ini jangan diambil mudah kerana malang tidak berbau.

Kami tidak mahu, setiap kali hujan turun kami terus diganggu perasaan takut,” katanya.