HAJI Zam terkenal di kampung sebagai seorang peniaga yang murah hati. Baginya, membantu orang yang sedang kesempitan bukan sekadar amalan kebajikan, malah suatu ibadah. Ramai yang datang meminjam wang daripadanya, dan kebanyakannya diberikan tanpa banyak soal kerana beliau percaya setiap orang mempunyai maruah serta amanah.
Namun, kepercayaan itu mula terhakis apabila beberapa individu yang pernah dibantu sanggup memungkiri janji. Antaranya Kadiak, seorang peniaga lembu yang berjanji menjual seekor lembu kepada Haji Zam. Wang pendahaluan sebanyak RM5,000 telah diterima dengan alasan lembu sedang diternak dan akan dihantar beberapa hari kemudian. Hari berganti minggu, minggu berganti bulan. Setiap kali ditanya, Kadiak memberikan alasan baharu. Ada kalanya dia mendakwa kononnya pembeli lain membatalkan tempahan.
Akhirnya terbongkar rahsia bahawa lembu yang dijanjikan itu sebenarnya tidak wujud. Wang Haji Zam telah habis digunakan untuk urusan peribadi. Hutang RM5,000 masih tergantung tanpa sebarang usaha untuk melunaskannya. Haji Zam hanya mampu berdoa agar Allah membuka pintu hati Kadiak.
Tidak lama kemudian, perniagaan Kadiak mula merudum.
Seekor demi seekor lembu-lembunya diserang penyakit. Ada yang mati secara mengejut, ada yang terpaksa dijual dengan harga terlalu murah. Pelanggan mula hilang kepercayaan, malah ramai yang enggan lagi berurusan dengannya. Wang yang diperoleh pula sentiasa tidak cukup, seolah-olah hilang keberkatannya.
Ketika itulah, Kadiak mula sedar bahawa memakan hak orang lain bukanlah suatu keuntungan, bahkan menjadi musibah yang mengandungi balasan Allah di dunia.
Orang kedua ialah Wak Mail, juga seorang peniaga lembu dan pelbagai perniagaan, yang baru dikenali oleh Haji Zam. Pada suatu hari, Wak Mail datang dengan wajah sugul meminta bantuan kewangan kerana ingin membeli beberapa ekor lembu untuk dijual sempena musim korban. Haji Zam menghulurkan pinjaman tanpa sebarang cagaran. Wak Mail berjanji akan membayar semula sebaik sahaja semua lembunya habis dijual. Namun, selepas musim korban berlalu, janji tinggal janji.
Setiap kali Haji Zam menuntut baki hutang RM4,700, Wak Mail memberi pelbagai alasan. Kadang-kadang dia mengatakan belum menerima bayaran daripada pelanggan. Kadang-kadang dia mendakwa anaknya sakit, malah ada ketikanya dia mengelak daripada bertemu Haji Zam.
Bertahun-tahun berlalu, hutang itu tidak dijelaskan. Anehnya, Wak Mail terus berbelanja besar seolah-olah tidak mempunyai tanggungan. Tidak lama kemudian, kehidupannya mula berubah. Lori yang menjadi sumber rezekinya terlibat dalam kemalangan sehingga rosak teruk. Perniagaannya semakin suram. Kerana pelanggan memilih pembekal lain. Wang yang diperoleh habis untuk membaiki kenderaan dan menanggung pelbagai kerugian.
Wak Mail akhirnya mengaku kepada beberapa kenalan bahawa hidupnya semakin sempit walaupun masih bekerja keras. Barulah dia teringat kat-kata orang tua bahawa doa orang yang dizalimi tiada hijab di sisi Allah. Hanya mula dihimpit penyelasan kerana mengadja melengah-lengahkan pembayaran hutang Haji Zam.
Lebih menyedihkan ialah kisah seorang Datuk. Gelaran dan kemewahan tidak menjamin seseorang berpegap pada janji. Datuk itu pernah berurusan dengan Haji Zam dalam menguruskan perniagaan tanah untuk dihantar ke sebuah kilang simen. Urusan berjalan lancar hasil usaha gigih Haji Zam mendapatkan pelbagai kelulusan dan menyelesaikan masalah lapangan.
Datuk berjanji akan membiayai sepenuhnya kos menunaikan umrah secara tunai untuk Haji Zam dan isterinya. Janji itu diucapkan berkali-kali di hadapan ramai saksi. Namun, apabila keuntungan diperoleh, Datuk mula berubah.
Panggilan telefon tidak berjawab, janji temu sering dibatalkan, malah akhirnya beliau menafikan pernah membuat janji tersebut. Haji Zam tidak berdendam. Sebaliknya menyerahkan urusan itu kepada Allah Yang Maha Adil. Beberapa bulan kemudian, projek-projek Datuk mula menghadapi pelbagai masalah. Satu demi satu kontrak dibatalkan. Rakan niaga menarik diri, siasatan kewangan pula menyebabkan banyak urusan tergendala. Nama yang dahulunya disanjung mula diperkatakan dengan nada sinis. Kekayaan yang dibanggakan semakin susut sedikit demi sedikit.
Datuk akhirnya mengaku bahawa hati yang tidak menepati janji akan kehilangan keberkatan hidup walaupun masih mempunyai harta, ketenangan yang dicari tidak pernah dirasai. Seorang lagi ialah Deli. Dia meminjam wang daripada Haji Zam semata-mata kerana ingin menyertai rombongan melancong ke Indonesia bersama-sama rakan-rakannya.
Dengan penuh rasa percaya Haji Zam menghulurkan wang tersebut setelah Deli berjanji akan membayarnya secara ansuran sebaik pulang. Namun, setelah menikmati percutian, Deli berubah sikap. Dia bukan sahaja gagal membayar hutang malah mengelak apabila bertemu Haji Zam. Di media sosial, Deli memuat naik gambar bercuti dan menikmati kehidupan mewah sedangkan hutangnya terus diabaikan. Tidak lama kemudian, perniagaan kecil yang diusahakan mula mengalami kerugian. Kesihatannya juga sering terganggu sehingga terpaksa berulang-alik ke hospital.
Wang simpanan habis sedikit demi sedikit. Isterinya telah melarikan diri. Anak-anaknya pula berdepan pelbagai kesulitan dalam pelajaran dan pekerjaan. Deli mula bermuhasabah. Dia teringat pesanan seorang ustaz bahawa hutang ialah amanah yang wajib diselesaikan, dan kezaliman terhadap hak manusia akan dipersoalkan oleh Allah. Deli akhirnya datang menemui Haji Zam sambil membawa sedikit wang sebagai permulaan bayaran.
Air mata mengalir ketika dia memohon maaf. Haji Zam memaafkan mereka semua kerana percaya pintu taubat sentiasa terbuka. Namun kisah Kadiak, Wak Mail, Datuk dan Deli menjadi pengajaran kepada seluruh masyarakat bahawa hutang bukan sekadar urusan manusia sesama manusia, bahkan amanah yang akan dipersoal di hadapan Allah. Sesiapa yang sengaja mengkhianati janji dan memakan hak orang lain mungkin terlepas daripada hukuman manusia, tetapi tidak akan terlepas daripada balasan Allah, sama ada di dunia mahupun di akhirat.






