KOTA SAMARAHAN: Pelajar Tingkatan Enam daripada empat sekolah menengah di Samarahan menyertai Program 4.00: Ruby Elite Siri 1 STPM 2027 bagi memperkukuh persediaan akademik dan menyasarkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, program itu memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik, disiplin dan kerjasama dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program 4.00: Ruby Elite Siri 1 STPM 2027 di Auditorium INFRA, di sini, hari ini.
Kejayaan akademik tidak boleh bergantung kepada usaha pada saat akhir, sebaliknya memerlukan persediaan konsisten, latihan berterusan serta kesediaan pelajar mengenal pasti dan memperbaiki kelemahan dalam setiap mata pelajaran.
Beliau turut menegaskan bahawa kecemerlangan bukan hanya diukur melalui pencapaian PNGK 4.00, malah turut merangkumi pembentukan disiplin, integriti dan kesungguhan dalam diri pelajar.
Program itu melibatkan pelajar dari SMK Kota Samarahan, SMK Asajaya, SMK Muara Tuang dan SMK Wira Penrissen.
Selain persediaan akademik, program berkenaan turut menyediakan ruang perkongsian ilmu dan sokongan sesama pelajar bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang saling membantu dalam mencapai sasaran ditetapkan.




