KUCHING: Penubuhan i-CATS Penyelidikan, Inovasi, Sokongan dan Perusahaan (RISE) atau i-CATS RISE memainkan peranan penting dalam usaha mempercepatkan pelaksanaan penyelidikan gunaan, inovasi serta kerjasama industri.
Naib Canselor Kolej Universiti i-CATS, Profesor Emeritus Datuk Ts. Dr. Mohamad Kadim Suaidi berkata, penubuhan i-CATS RISE merupakan penjenamaan baharu kepada Pusat Pengurusan Penyelidikan i-CATS (iRMC).
Di bawah kerangka tersebut, tiga institut atau pusat penyelidikan khusus ditubuhkan iaitu iCATS STAR – Institut Teknologi Satelit dan Pusat Penyelidikan Aeroangkasa; iCATS CASA – Pusat Astronomi dan Sains Astrofizik; serta iCATS BRAIN – Rangkaian Data Raya, Robotik dan Kecerdasan Buatan (AI).
“Ketiga-tiga pusat ini memposisikan i-CATS sebagai enjin strategik berintensiti penyelidikan, kolaborasi antara disiplin dengan perusahaan berteraskan inovasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Naib Canselor 2026 di Dewan Tan Sri Aziz, Kolej Universiti i-CATS, di sini, hari ini.
Tambahnya, penyelidikan di i-CATS akan memberi tumpuan kepada cabaran sebenar industri dan masyarakat, selain menyokong agenda strategik Sarawak khususnya dalam peralihan tenaga, ekonomi digital dan kitaran.
Menurutnya, aplikasi AI dalam pengajaran, penyelidikan dan industri akan diperkasa dengan sasaran menjadikan i-CATS sebagai penyumbang kepada penyelesaian AI gunaan.

“Hasil penyelidikan pula dijangka diterjemahkan kepada pengkomersialan, input dasar, prototaip serta penyelesaian gunaan dengan penunjuk prestasi penyelidikan diselaraskan berdasarkan impak dan bukan sekadar jumlah penerbitan,” ujarnya.
Mohamad Kadim ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis amanat memaklumkan bahawa aktiviti penyelidikan di institut berkenaan telah pun bermula contohnya, aktiviti berkaitan aeroangkasa atau reka bentuk satelit telah dimulakan sejak tahun lalu.
“Kami telah menjalinkan kerjasama dan perkongsian dengan dua universiti antarabangsa iaitu Universiti Teknikal Istanbul di Turkiye dan Universiti Teknikal Timur Tengah di Ankara, Turkiye.
“Kedua-dua universiti ini merupakan antara universiti terkemuka dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa. Justeru, kami amat berbesar hati dan bertuah kerana mereka bersedia bekerjasama dengan kami dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa yang sangat penting dan signifikan ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu ketika ini, salah seorang kakitangan Kolej Universiti i-CATS juga sedang mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang reka bentuk dan pembangunan satelit di Universiti Teknikal Istanbul.
Menurutnya, perkara itu juga selari dengan perancangan untuk memperkukuh Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa serta terlibat secara lebih dekat dan bekerjasama dengan rakan antarabangsa dalam reka bentuk satelit.
Sementara, mengulas mengenai Pusat Astronomi dan Sains Astrofizik, beliau menyatakn pihaknya juga telah diberi mandat oleh Kerajaan Sarawak untuk bekerjasama rapat dengan Jabatan Mufti Sarawak dalam komponen penyelidikan Pusat Astronomi Borneo di Santubong.
“Kami akan menyokong aktiviti penyelidikan dan inovasi Pusat Astronomi Borneo melalui penyelidikan serta kemudahan yang kami miliki.
“Manakala, mengenai iCATS BRAIN pula, ia memfokuskan kepada kecerdasan buatan, data raya dan robotik, bidang-bidang yang telah diterapkan merentasi semua program akademik institusi berkenaan. AI kini merupakan modul wajib dalam semua program kami.
“Kami melaksanakan perkara ini kerana kami meletakkan kepentingan dan keutamaan yang sangat tinggi terhadap AI dan teknologi digital yang merupakan bidang yang perlu kami bangunkan secara aktif,” tegasnya.



