ASAJAYA: Sambutan Hari Raya Aidiladha di kawasan Asajaya bukan saja menerapkan nilai kasih sayang antara komuniti malah menjadi penguat amalan kerjasama antara rakyat tempatan.
Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang berkata, kemeriahan sambutan Aidiladha di Asajaya jelas terasa terutama ketika penduduk kampung saling turun padang membantu melancarkan aktiviti menyembelih binatang ternakan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan daging korban di pekarangan Masjid Darul Huda di Kampung Sebandi Matang, hari ini.

Tegas Rubiah, ahli jawatankuasa seharusnya diberikan pujian atas kejayaan mereka dalam mengendalikan program korban ini sehingga mampu menarik kerjasama warga kampung untuk turut serta.
“Biarpun hanya 14 ekor sahaja lembu korban pada tahun ini, kemeriahan ibadah korban dapat dirasai di seluruh daerah Asajaya.
“Ibadah korban di setiap kampung berjalan dengan baik, ini menunjukkan sambutan Aidiladha di kampung-kampung disambut meriah,” katanya.



