Ibu bapa belum yakin hantar anak

KOTA SAMARAHAN: Guru Tadika Smart Reader Kids Jalan Datuk Mohd Musa di sini menitikberatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Tinjauan Suara Sarawak di tadika tersebut pada jam 7 pagi kelmarin mendapati suhu badan semua kanak-kanak yang memasuki ke tadika tersebut akan diperiksa.

Selain itu, beg dan barang keperluan di dalam beg juga diperiksa bagi mengelakkan mereka membawa barang berbahaya. Menurut guru di tadika tersebut, ibu bapa hanya dibenarkan menghantar anak mereka di luar pagar tadika.

Selain pakaian dan tuala, barangan seperti mainan dan kotak pensel tidak dibenarkan dibawa masuk dan akan dikembalikan semula kepada ibu bapa serta-merta pada pagi tersebut.

Selepas itu, kanak-kanak akan diarah menyusun atur kasut mereka sendiri dan menggunakan pensanitasi tangan sebelum masuk ke dalam kelas. Ditanya mengenai susunan tempat duduk belajar dan makan, kanak-kanak akan duduk di tempat mereka sendiri dengan jarak satu meter.

Tiba waktu makan, guru akan membawa makanan termasuk bekalan yang dibawa dari rumah ke tempat duduk kanak-kanak. Bagaimanapun katanya, pada hari pertama pembukaan tadika dan prasekolah semalam, tidak ramai ibu bapa yang menghantar anak mereka.

Ada ibu bapa yang memberitahu pihak, mereka hanya akan menghantar anak selepas Ogos dan ada yang ingin melihat keadaan di tadika terlebih dahulu kerana belum yakin sepenuhnya.

Bermacam-macam kerenah kanak-kanak diperhatikan pada hari pertama tadika dibuka termasuk terlupa wajah guru, tidak mahu diperiksa suhu badan dan takut menggunakan cecair pensanitasi tangan.

Sehingga semalam, tinjauan mendapati terdapat tadika dan prasekolah yang masih belum beroperasi di sekitar perumahan di sini.