ARTIKEL

Seekor ibu Orang Utan dilihat bersama anak kembarnya berhampiran pondok Borneo Adventure’s Nanga Sumpa di Batang Ai. - Gambar ihsan Jan Vanmeerhaeghe & Els Decock. H -

Ibu Orang Utan bersama anak kembar dilihat di Nanga Sumpa, Batang Ai

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seekor ibu Orang Utan dilihat membawa dua anak kembarnya berhampiran pondok Borneo Adventure’s Nanga Sumpa di Batang Ai.

Kelibat tiga beranak itu dilihat oleh pemandu pelancong Borneo Adventure’s, Paul Matthew dan Lemon Praddy pada 16 Januari lalu.

Menurut jurucakap Borneo Adventure’s, ia adalah laporan pertama kembar Orang Utan dilihat di Sarawak.

“Kembar orang utan itu dilihat bersama ibunya berhampiran dengan pondok Borneo Adventure’s Nanga Sumpa dan diperhatikan selama 45 minit sebelum mereka bergerak masul ke dalam hutan hujan berkenaan.

“Borneo Adventure’s menamakan kembar itu sebagai Paul dan Lemon sempena nama pemandu pelancong yang paling dahulu melihat mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, anak kembar adalah sangat jarang berlaku dengan Orang Utan dan membesarkan anak kembar bukanlah mudah bagi ibu Orang Utan itu.

“Memegang dua bayi di kanopi hutan hujan yang tinggi boleh menjadi satu cabaran.

“Terdapat risiko bayi boleh terlepas cengkaman dan jatuh apabila ibu mereka bergerak melalui kanopi hutan hujan,” katanya.

Beliau menambah, si ibu juga mesti mencari lebih banyak makanan supaya dapat menghasilkan susu yang mencukupi untuk memberi makan kepada anak kembarnya.

“Semua ini bergantung pada persekitaran yang selamat dan produktif yang menyediakan makanan dan habitat yang mencukupi untuk Orang Utan terus hidup.

“Nasib baik, landskap hulu Sungai Delok di Batang Ai terus menyediakan habitat ini,” katanya.

Borneo Adventure’s telah mengendalikan pengembaraan di kawasan berkenaan sejak 1987, dengan kerjasama masyarakat tempatan, dengan menampilkan persekitaran tempatan dan menyokong pemuliharaan sumber.

Komitmen jangka panjang komuniti dan syarikat terhadap pemuliharaan telah menghasilkan produk pelancongan yang mampan dan meningkat populasi Orang Utan termasuk hidupan liar lain.

Komitmen melindungi habitat itu turut mendapat sokongan Kerajaan Sarawak, apabila sebahagian besar kawasan di luar kawasan dilindungi sedia ada kini telah ditetapkan sebagai kawasan pemuliharaan untuk melindungi hutan yang diperlukan bagi memastikan kemandirian Orang Utan di habitat semula jadi mereka.

Usaha itu turut dibantu dan disokong oleh Jabatan Hutan Sarawak dan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) bersama Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar (WCS), Borneo Adventure dan masyarakat setempat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Abang Arabi Abang Aimran, kemunculan pasangan kembar itu sememangnya berita baik.

“Ia menunjukkan bahawa kawasan yang dipelihara mempunyai habitat hidup dan makanan yang mencukupi untuk si ibu membekalkan khasiat kepada kembarnya,” katanya.

Justeru, beliau berkata SFC akan terus bekerjasama dengan sektor swasta dan komuniti untuk memastikan populasi Orang Utan di situ terus kekal selama-lamanya.

“Anak Orang Utan kembar memberikan peringatan tepat pada masanya tentang kepentingan alam semula jadi Sarawak dan tanggungjawab kita untuk melindungi warisan ini,” katanya. tamat

BERITA LAIN

BERITA TERBARU