Ibu tunggal sambut Aidilfitri di penjara angkara dadah

KUCHING: Seorang ibu tunggal tiga anak pasti menitis air mata kerana terpaksa berhari raya di balik tirai besi, setelah dihukum penjara dua tahun tujuh bulan kerana memiliki dadah semalam.

Terdahulu, tertuduh menukar pengakuan tidak bersalahnya bagi tuduhan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya, 1952 kerana memiliki 8.13 gram dadah jenis syabu di sebuah rumah pada jam 8.45 malam di
Batu 7 1/2 Jalan Penrissen pada 14 Februari lalu.

Majistret Nuruhuda Mohd Yusof mengarahkan hukuman terhadap Noni Osthman, 25, berjalan dari tarikh tangkapan pada 14 Februari lalu.

Dalam penghakimannya, Nuruhuda memberitahu, hukuman tersebut dijatuhkan setelah menyedari kes berkaitan dadah meningkat saban hari di sini.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota polis diketuai ASP Nona Athan dari IPD Padawan telah menahan seorang
lelaki Cina yang dikenali sebagai Kong di belakang sebuah rumah, namun tidak menjumpai sebarang bukti apabila pemeriksaan badan dilakukan.

Gambar hiasan

Pasukan polis kemudian memasuki rumah berkenaan dan mendapati seorang wanita iaitu tertuduh sedang duduk di ruang tamu rumah.

Pemeriksaan badan terhadap tertuduh juga gagal menemui sebarang bukti sebelum mereka beralih ke ruang tidur dan menemui empat plastik paket mengandungi ketulan kristal disyaki syabu seberat 52.45 gram.

Dalam rayuannya, Noni memberitahu mahkamah, dia merupakan seorang ibu tunggal yang mempunyai tiga anak berumur antara lima ke lapan tahun yang masih memerlukan perhatiannya.

Pengakuan bersalahnya katanya, adalah untuk menjimatkan masa mahkamah dan berharap hukuman ringan akan
dijatuhkan bermula dari tarikh tangkapannya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hafiz Musa sebelum itu meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang sepadan dengan perbuatan tertuduh memandangkan kekerapan kes membabitkan dadah di bandar raya ini.

Suara Sarawak