Iftitah Resort cetus ilham Tegar hasil single terbaharu untuk peminat

TANJUNG MANIS: ” Suasana tenang di Iftitah Resort & Restoran memberi banyak idea kepada saya untuk berkarya,” kata penyanyi, Tegar Septian.

Penyanyi Indonesia yang popular menerusi lagu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang ini mengakui menimba banyak pengalaman baharu sepanjang menginap di pusat peranginan berkenaan.

“Entah kenapa, idea saya mencurah-curah sejak tinggal di sini. Malah, saya berjaya menghasilkan sebuah lagu baru yang istimewa untuk semua peminat saya,”katanya.

Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, pantai ftitah Belawai sesuai untuk dijadikan sebagai tempat bersantai.

PENYANYI Indonesia yang popular menerusi lagu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang, menghiburkan penduduk Belawai sempena Pertandingan Mesei Latik Iftitah Resort, pantai Belawai hari ini.

Malah ujarnya, persekitaran pantai yang tenang dan bersih amat serasi dengan jiwanya sebagai anak seni untuk mencari ilham.

“Sudah pasti saya akan merakamkan lagu baru itu tidak lama lagi. Bagi saya single ini membawa makna tersendiri dan cukup istimewa kerana ia ‘lahir’di pantai Iftitah Belawai,”katanya.

Tegar di Belawai untuk menghiburkan peminatnya sempena Pertandingan Mesei Latik Siri II anjuran Iftitah Resort & Restoran.

Persembahan istimewa artis itu turut disaksikan oleh Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, Pegawai Daerah Tanjung Manis, Udin Bujang, Pengurus Iftitah Resort & Restoran, Ibnee Ekni dan lebih 2,000 pengunjung pusat peranginan terkemuka itu.

Suara Sarawak