KUCHING: IKEA pertama Sarawak bakal beroperasi di Kuching pada Disember 2026 menerusi gedung berformat kecil pertama IKEA Malaysia.
Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Malcolm Pruys, berkata pembukaan gedung ini bakal memudahkan akses kepada pelanggan setempat.
“Sekali gus, membawa kami selangkah lebih dekat kepada matlamat untuk mencipta kehidupan harian yang lebih baik bagi orang ramai.
“Pada masa sama, menjadikan pengalaman IKEA lebih mudah diakses serta lebih relevan dengan cara hidup masyarakat di sini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, masyarakat di Kuching sudah mengenali IKEA dan pihaknya berhasrat agar pelanggan boleh membuat refleksi rumah sendiri apabila melangkah masuk ke gedung ini.
“Sama ada menyediakan ruang untuk keluarga berkumpul, mencari cara lebih baik untuk menyusun barangan harian atau memaksimumkan fungsi sesuatu ruang, kami mahu menawarkan penyelesaian yang praktikal, mudah dilaksanakan dan relevan,” katanya.
Menjelang pembukaan IKEA Kuching, IKEA Malaysia juga akan mula bekerjasama dengan komuniti setempat bagi membentuk pasukan rakan sekerja di Kuching.
Tumpuan akan diberikan kepada penyediaan peluang kepada bakat tempatan untuk berkembang bersama IKEA, serta membantu membawa pengalaman IKEA kepada masyarakat Sarawak.
Sementara itu, katanya, maklumat lanjut mengenai kedai, tarikh pembukaan rasmi dan aktiviti menarik yang menanti pelanggan akan diumumkan dalam beberapa bulan akan datang.
Pembukaan IKEA Kuching menandakan satu lagi langkah penting bagi pengembangan IKEA di Malaysia Timur, serta membawa pengalaman IKEA lebih dekat kepada rakyat Sarawak.
Gedung baharu ini memperkukuh kehadiran IKEA di rantau ini yang sebelum ini disokong melalui e-dagang dan perkhidmatan pemenuhan pesanan.
Pelanggan kini berpeluang mendapatkan inspirasi kelengkapan rumah, meneroka pelbagai produk serta menikmati kepakaran IKEA secara lebih dekat.


