ARTIKEL

TERIMA KASIH... Fadillah menerima cenderahati daripada Misnu sambil disaksikan tetamu kehormat lain.

IKMAS dicadang perkukuh pembangunan ilmu dan sahsiah umat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof mencadangkan agar Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) diperkasakan sebagai pusat kecemerlangan pendidikan Islam bagi melahirkan pemimpin dan pemikir Islam Nusantara yang mampu mencorakkan pembangunan umat secara menyeluruh.

Katanya, usaha itu memerlukan kerjasama erat antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak, Majlis Islam Sarawak (MIS) serta pelbagai institusi berkaitan bagi memperkukuh peranan IKMAS sebagai pusat pembangunan ilmu, kepimpinan dan pembinaan sahsiah umat.

“Saya ingin mencadangkan supaya JAKIM bersama MIS memperkukuh peranan IKMAS, bukan sekadar sebagai institusi latihan, tetapi dijadikan pusat pendidikan dan tempat melahirkan pimpinan Islam Nusantara.

“Kita mahu melahirkan pemikir yang bukan sahaja mempunyai ilmu agama, malah mampu membentuk kekuatan ekonomi umat, memperkukuh sahsiah serta menterjemahkan nilai Islam sebagaimana digambarkan dalam al-Quran sebagai sebaik-baik umat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Seminar Kelestarian Pemikiran Islam Nusantara, Sarawak Maju Makmur 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak Hamdan Jaree serta tetamu kehormat lain.

Dalam pada itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, sekiranya diperlukan, beliau bersedia memberikan sokongan bagi merealisasikan cadangan itu agar IKMAS dapat berkembang sebagai pusat kecemerlangan Islam yang bukan sahaja memberi manfaat kepada Sarawak, malah seluruh Nusantara.

Menurut Ahli Parlimen Petra Jaya itu, matlamat utama adalah melahirkan pemimpin dan pemikir Islam yang mampu mengangkat semula Nusantara sebagai pusat kecemerlangan tamadun Islam melalui pendekatan ilmu, pembangunan ekonomi serta pembentukan sahsiah yang seimbang.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa pelbagai idea dan cadangan yang dibentangkan menerusi seminar tidak seharusnya terhenti sebagai bahan perbincangan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan yang memberi impak kepada masyarakat.

“Kita sudah banyak mengadakan seminar dan membentangkan pelbagai cadangan. Kita memperoleh ilmu, tetapi sekarang adalah masa untuk bertindak.

“Kita perlu menghimpunkan segala cadangan yang telah dikemukakan dan menterjemahkannya kepada pelaksanaan. Jika tidak, seminar hanya akan tinggal sebagai seminar dan mesyuarat hanya tinggal sebagai mesyuarat tanpa menghasilkan perubahan,” katanya.

Katanya lagi, kejayaan membangunkan umat Islam memerlukan komitmen bersama daripada kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, institusi pendidikan, agensi kerajaan serta semua pihak berkepentingan.

Oleh itu, tegas beliau, semua pihak perlu bertekad untuk melahirkan umat Islam yang mempunyai ilmu, sahsiah, kekuatan ekonomi dan tanggungjawab sosial sebagaimana digariskan dalam al-Quran.

“Zaman sekarang memerlukan tindakan. Semua institusi perlu duduk bersama untuk mencorakkan umat Islam supaya menjadi khairul ummah sebagaimana yang digambarkan dalam al-Quran.

“Itulah matlamat kita. Seminar ini tidak akan mendatangkan hasil sekiranya segala cadangan yang dibincangkan tidak diterjemahkan kepada tindakan yang nyata,” ujarnya.

Beliau turut mendoakan agar segala usaha memperkukuh pemikiran Islam Nusantara dipermudah Allah SWT, selain berharap seluruh umat Islam terus dikurniakan taufik, hidayah dan kekuatan untuk melaksanakan amanah dalam membangunkan masyarakat berteraskan nilai Islam yang syumul.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan seminar berkenaan serta berharap usaha memperkasakan pemikiran Islam Nusantara dapat diteruskan secara bersepadu demi melahirkan generasi Islam yang berilmu, berakhlak dan mampu memimpin pembangunan umat pada masa hadapan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU