ARTIKEL

Zulkifli Hasan bercakap pada Istiadat Konvokesyen IKMAS Kali Ke-22 Tahun 2026 di Kuching, hari ini. FOTO: RAMIDI SUBARI

IKMAS perlu diperkasa sebagai hab rujukan serantau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) perlu terus diperkasa sebagai hab rujukan pendidikan Islam dan kemahiran di peringkat serantau, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.

Menurutnya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan terus memberikan komitmen bagi memastikan IKMAS kekal relevan dan seiring dengan tuntutan semasa.

“Peruntukan, kemudahan prasarana serta kebajikan kakitangan dan pelajar akan terus diberi perhatian bagi memastikan ekosistem pembelajaran di IKMAS sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Istiadat Konvokesyen IKMAS Kali Ke-22 Tahun 2026 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, graduan IKMAS juga perlu tampil sebagai Multitasking Da’i, iaitu pendakwah serba boleh yang bukan sahaja menguasai ilmu agama, malah mempunyai kemahiran dalam teknologi maklumat, komunikasi, pengurusan dan keusahawanan.

Katanya, gabungan ilmu pengajian Islam dengan kemahiran insaniah menjadi kelebihan penting graduan IKMAS dalam menghadapi tuntutan dunia semasa, selain kepentingan akhlak dan integriti dalam pembentukan generasi berilmu.

Beliau turut mengingatkan graduan supaya membawa pendekatan dakwah yang membina dan menyatukan masyarakat, khususnya dalam konteks Sarawak yang mempunyai kepelbagaian agama, etnik dan budaya.

Untuk rekod, IKMAS lahir daripada persetujuan Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura pada persidangan kali kelima di Pulau Langkawi, Kedah pada 3 dan 4 Ogos 1994.

Pada awal penubuhannya, institusi itu dikenali sebagai Madrasah Pesantren ASEAN sebelum ditukar nama pada 1999 berikutan kos pengurusan yang dibiayai sepenuhnya Kerajaan Malaysia.

IKMAS kemudiannya ditubuhkan pada September 2001 sebagai pusat kecemerlangan ilmu Islam dan dakwah di Sarawak.

Sejak penubuhannya, IKMAS telah melahirkan 1,717 graduan dalam pelbagai disiplin, termasuk Diploma Pengajian Islam dan Dakwah, Diploma Dakwah Islamiah, Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat, Persijilan Asas Pengajian Islam serta Sijil Pengajian Islam.

Bagi Istiadat Konvokesyen Ke-22 tahun ini, seramai 129 graduan menerima anugerah masing-masing, terdiri daripada 102 graduan Diploma Dakwah Islamiah, 12 graduan Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat serta 15 graduan Sijil Pengajian Islam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU