ARTIKEL

RASMI…. Rosmawati (tengah) melakukan simbol perasmian Penyerahan Sistem Digital Bersepadu iKOM+ di sini, hari ini disaksi oleh Dr Stephanie Chua (dari kiri), Dr Suhaila Saee dan Rizal Ismail serta Jet Son.

iKOM+ perkasa usahawan wanita melalui transformasi digital

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Inovasi digital dalam perkhidmatan penjagaan ibu dan bayi diperkukuh menerusi pelancaran Sistem Digital Bersepadu iKOM+, hasil kerjasama Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Koperasi Mamacare Sarawak Berhad.

Platform digital yang dibangunkan melalui projek inovasi sosial dibiayai Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu direka bagi menyokong usahawan wanita, terutamanya dalam kalangan B40, ke arah pendigitalan perkhidmatan yang lebih teratur dan cekap.

Ketua Projek merangkap Pensyarah Kanan FSKTM UNIMAS, Dr Suhaila Saee berkata, pembangunan iKOM+ memberi tumpuan kepada pemerkasaan komuniti pengamal Mamacare agar lebih bersedia mengadaptasi teknologi dalam operasi harian.

“iKOM+ bukan sekadar sistem, tetapi satu ekosistem digital yang menyusun semula cara pengamal ini bekerja.

“Dengan platform ini, pendaftaran, pengurusan pengamal dan tempahan pelanggan dapat dilakukan secara lebih teratur, telus dan berpusat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sistem Digital Bersepadu iKOM+ di sini, hari ini.

Tambah Dr Suhaila, penggunaan platform digital turut meningkatkan profesionalisme dan kepercayaan pelanggan terhadap perkhidmatan penjagaan ibu dan bayi.

“Apabila proses menjadi lebih sistematik, profesionalisme meningkat dan keyakinan pelanggan juga bertambah.

“Ini membantu mengangkat perkhidmatan penjagaan selepas bersalin ke tahap yang lebih tinggi,”ujarnya.

Menjelas lanjut, kejayaan iKOM+ turut diperkukuh melalui penganjuran Siri 1 Bengkel Literasi Digital pada Mei lalu.

“Ini memberi pendedahan kepada 20 pengamal wanita mengenai kemahiran digital asas. Bahkan, ada empat peserta menyatakan minat untuk meneruskan penulisan tesis di peringkat Diploma.

“Ini bukti bahawa inovasi mampu membuka peluang baharu, bukan sahaja dari segi operasi, tetapi juga perkembangan kerjaya,” katanya.

Selain itu, Siri 2 Bengkel Literasi Digital yang dijadualkan berlangsung pada 2 dan 3 Disember ini.

“Bengkel ini akan memberi fokus kepada pendedahan asas kecerdasan buatan (AI) dan penggunaannya dalam perkhidmatan mikro.

“Ini kerana, kami mahu memastikan pengamal Mamacare memahami teknologi yang semakin mempengaruhi cara perniagaan kecil beroperasi pada masa depan,”jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Koperasi Mamacare, Rosmawati Bolhassan berkata, iKOM+ menjadi pemangkin kepada transformasi operasi koperasi yang sebelum ini bergantung kepada kaedah manual.

“Sebelum ini, urusan pendaftaran ahli, jadual penjaga dan tempahan pelanggan dibuat secara manual. Ia memakan masa dan mudah berlaku kekeliruan,” katanya.

Tegasnya, sistem digital tersebut kini memberi kelegaan besar kepada pengurus dan pengamal perkhidmatan.

“Dengan iKOM+, semuanya tersusun. Pendaftaran ahli dan maklumat penjaga dapat diakses dengan mudah.

“Pelanggan juga membuat tempahan dengan lebih yakin kerana semuanya direkodkan dengan jelas,”tambahnya.

Menjelas lanjut, sistem itu turut membantu koperasi memantau aliran kewangan dengan lebih profesional.

“Aspek ketelusan sangat penting dalam pengurusan koperasi.

“iKOM+ membolehkan kami melihat data dengan lebih tepat dan membuat keputusan berdasarkan maklumat terkini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Rosmawati turut merakamkan penghargaan kepada UNIMAS dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) atas sokongan dalam membangunkan sistem tersebut.

“Ilmu dan sistem ini akan kami manfaatkan demi kebajikan ahli serta kesejahteraan ibu dan keluarga yang menggunakan perkhidmatan kami.

“Semoga kerjasama ini terus membuka lebih banyak ruang kepada usahawan wanita di Sarawak,”katanya.

Projek iKOM+ turut meraih pengiktirafan apabila memenangi pingat emas di SULAMInnovate Showcase & Symposium (SUISS 2025) anjuran Universiti Malaysia Kelantan (UMK), selain hasil kerja projek diterbitkan dalam e-Proceeding rasmi SUISS.

KENANGAN…Rosmawati merakam gambar bersama-sama pihak UNIMAS dan SKM yang hadir pada majlis pelancaran tersebut.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU