Oleh: Awang Alfizan
Setiap kali para pembaca menghabiskan bacaan sesebuah buku, hal pertama yang mereka fikirkan adalah tentang dari manakah datangnya ilham penulis untuk menghasilkan buku tersebut.
Ada kisah yang datang daripada mimpi, ada yang tercipta daripada pengalaman dan ada juga yang tumbuh daripada orang-orang yang kita temui sepanjang perjalanan hidup.
Begitu jugalah novel terbaharu saya, Kekasih Samudera yang diterbitkan oleh Rumah Kertas.
Novel ini terbentuk daripada serpihan cinta, kehilangan, cita-cita dan keinginan untuk bernafas yang saya cantumkan menjadi sebuah manuskrip novel yang sarat dengan emosi dan harapan.
Kekasih Samudera mengisahkan tentang watak utama bernama Anitra, seorang gadis desa dari Negeri di Bawah Bayu yang menemui cintanya pada hati seorang jejaka asal Scotland bernama Grey.
Percintaan mereka bermula daripada sebuah persahabatan namundiuji dengan dugaan yang menenggelamkan tubuh ke dasar laut kehidupan.
Novel ini menceritakan tentang perjalanan seorang wanita mencari dirinya setelah kehilangan orang-orang yang disayanginya.
Wanita Desa dengan Impian Besar
Anitra lahir daripada keluarga yang sederhana tetapi mempunyai impian tinggi.
Sejak kecil lagi, keperibadiannya berbeza jika dibandingkan dengan adik-beradiknya yang lain.
Dia gemar membaca dan belajar meskipun perempuan pada ketika itu tidak begitu digalakkan untuk mendapatkan pendidikan.
Sesetengah masyarakat tradisional pada masa itu, terutamanya di kawasan pendalaman dan kampung menganggap bahawa pendidikan perempuan kurang penting berbanding peranan domestik seperti menguruskan keluarga serta hal-hal di rumah.
Pemikiran ibu Anitra masih berlegar dalam keadaan hidup dan nilai masyarakat pada zamannya.
Dia sering membanggakan anak lelakinya dalam pendidikan sehingga sanggup menghantarnya belajar di perantauan.
Anak-anak gadisnya pula hanya disuruh menetap di kampung untuk membantunya bekerja di rumah.
Situasi ini yang mencipta konflik di antara Anitra dengan ibunya.
Anitra mempunyai minat dan impian yang besar untuk diraih.
Dia pun belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat tawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajian sehingga ke luar negara.
Setelah Anitra mampu menimba ilmu di Kota London dan menjadi ahli biologi marin, mata ibunya mula terbuka untuk melihat kemampuan perempuan dalam meraih impian dengan berpendidikan. Isu ini yang saya adunkan dalam novel ini agar para pembaca dapat merenungkan kesukaran para wanita pada zaman dahulu dalam mencari ilmu.
Kisah cinta penuh dugaan
Ilham utama novel ini dihasilkan selepas saya menemu bual seseorang yang saya sangat hormati kerana beliau mempunyai latar belakang pendidikan yang hebat dan masa lalu yang memilukan jiwa.
Daripada penceritaan beliau, saya mula terinspirasi untuk menulis “Kekasih Samudera” versi saya yang digabungkan dengan elemen realisme magis.
Seolah-olah kisah versi saya memberi peluang kedua kepada beliau untuk mengubat rindu yang tidak tertanggung.
Dalam novel, Grey merupakan watak yang datang dari dunia yang berbeza daripada Anitra.
Namun, mereka dipertemukan oleh takdir lalu bersama-sama melindungi kawasan paya bakau.
Cinta mereka tidak bermula daripada keindahan atau pertemuan romantik semata-mata, tetapi daripada nilai yang dikongsi bersama, iaitu kecintaan terhadap alam.
Paya bakau yang berhampiran dengan laut boleh dijadikan sebagai simbol tempat pertemuan dua hati dan akar-akar pokok bakau mencengkam kukuh memorabilia mereka.
Hubungan persahabatan mereka berkembang menjadi percintaan.
Walau bagaimanapun, selepas itu Grey mendadak pulang ke Scotland tanpa berpamitan dengan Anitra. Perpisahan itu meninggalkan luka dan persoalan dalam diri gadis itu.
Kemudian mereka bertemu semula di London, saling memahami dan mencintai.
Alur cerita cinta mereka terlihat indah dengan mencipta kenangan manis bersama di beberapa negara Eropah.
Akan tetapi, saya ingin menunjukkan bahawa cinta yang indah tidak semestinya bebas daripada ujian.
Kisah cinta dalam Kekasih Samudera bukan sekadar cinta biasa, tetapi tentang bagaimana cinta mengajar manusia untuk menghargai sisa waktu yang dipinjamkan kepada mereka.
Bernafas setelah lemas
Metafora “lemas” dan “samudera” dalam novel ini membawa maksud sebuah dugaan dalam kehidupan.
Ada masanya, manusia merasa seperti tenggelam lemas dalam lautan hidup akibat kehilangan orang-orang tersayang dan impian.
Kekadang “lemas” juga hadir dalam bentuk keadaan, waktu, bahkan seseorang. Misalnya, Anitra yang merasa kehilangan ayah dan kekasihnya.
Pada awalnya, Anitra berfikir bahawa dia akan hidup bahagia bersama Grey setelah pertemuan semula mereka di London, tetapi sebaliknya mereka berdepan dengan penyakit barah Grey.
Setiap kehilangan yang dilalui oleh Anitra mengajarnya untuk “bernafas” semula.
Bangkit dari perit mengenangkan rasa kehilangan bukan bererti melupakan orang yang telah pergi.
Bangkit bermaksud belajar hidup bersama kenangan mereka yang telah tiada.
Tentang bagaimana kita boleh bernafas meski hati masih terluka. Menarik nafas baru dan menghembuskan segala yang perit.
Dalam novel ini, Anitra cuba membantu Grey ketika penyakitnya semakin parah.
Walau bagaimanapun, dalam masa yang sama dia sendiri perlu menyelamatkan dirinya daripada tenggelam dalam kesedihan.
Persoalan yang cuba saya hadirkan dalam minda pembaca ialah: jika cinta mampu membuatkan kita mahu terus hidup untuk seseorang, apakah yang akan terjadi apabila insan itu tidak lagi mampu berada di sisi kita?
Sebagai penulis novel ini, saya juga ingin menyedarkan para pembaca bahawa kesedihan bukanlah tanda kelemahan.
Menangis, kecewa dan kehilangan arah merupakan sebahagian daripada proses kehidupan manusia.
Pada akhirnya, manusia perlu belajar berenang ke permukaan air sendiri, mencari udara untuk “bernafas” dan melanjutkan kehidupan meski sukar.
Kesimpulan
Pada akhir cerita, novel ini sebenarnya merupakan perjalanan Anitra daripada seorang gadis desa kepada seorang wanita yang berani memilih masa depannya.
Sepanjang perjalanan hidup, dia kehilangan beberapa orang yang disayangi, tetapi bukan bererti dia telah kehilangan seluruh dirinya.
Dia masih punya satu kerlipan cahaya dalam kelam kedukaan untuk terus bangkit.
Bahkan Grey dan ayahnya sering berpesan kepada Anitra untuk tidak mengalah dalam hidup dan harus sentiasa memandang ke hadapan.
Mencari cara untuk menjadi versi diri yang terbaik dalam hidup.
Antara mesej yang saya cuba sampaikan kepada pembaca melalui novel ini ialah jangan takut bermimpi, pendidikan menyuluh jalan, latar belakang bukan penghalang, kehilangan bukan pengakhiran dan cinta boleh meninggalkan luka serta makna.
Akhirnya, daripada segala ilham yang tercetus dalam novel ini membawa kisah tentang sesiapa sahaja yang pernah mencintai akan merasa kehilangan dan harus belajar untuk meneruskan kehidupan.



