BINTULU: Dalam kerancakkan berkempen untuk memilih wakil rakyat baharu bagi DUN Jepak, jasa dan sumbangan mantan ADUNnya Datuk Talib Zulpilip tidak dilupakan.
Bahkan, tradisi Allahyarham yang menjadi ADUN Jepak selama 27 tahun tetap diteruskan dengan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Iskandar Turkee meluangkan masa menyantuni warga tempatan dalam aktiviti ramah mesra, Program Jom Ngeteh di Abida Cafe, di sini, hari ini.
Ia sekali gus mengimbau kembali kenangan bersama penyandang kerusi itu selama enam penggal, yang kerap berkunjung ke kafe tersebut bagi beramah mesra dan mendengar keluhan warga tempatan tanpa mengira kaum mahupun agama.
Menurut Menurut Ahli Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Rosey Yunus, program tersebut sertai sekitar 100 masyarakat tempatan khususnya dari kawasan Jepak.
“Sebenarnya kedai kopi ini mempunyai sejarahnya tersendiri kerana ia sering dikunjungi oleh Allahyarham untuk meluangkan masa dan bersembang santai bersama-sama rakyatnya di sini. Jadi kita teruskan tradisi tersebut untuk mengeratkan lagi hubungan.
“Selain itu, tempat ini penuh nostalgia bagi orang Bintulu kerana ia menyatukan masyarakat Melayu, Cina dan Dayak di bawah satu bumbung,” katanya ketika ditemui pemberita pada program tersebut, hari ini.
Beliau dalam pada itu turut mengingatkan para pengundi untuk turun menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian, 4 November kelak.


