KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen menahan 471 pendatang tanpa izin dalam 179 operasi penguatkuasaan di seluruh negara sepanjang lima hari bermula Isnin hingga Jumaat.
Menurut Bernama ,operasi itu turut menyaksikan 31 majikan ditahan kerana disyaki menggaji atau melindungi warga asing yang melakukan kesalahan imigresen.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata seramai 1,494 individu melibatkan warga tempatan dan warga asing telah diperiksa sepanjang operasi berkenaan.
Johor merekodkan jumlah operasi tertinggi dengan 52 serbuan, diikuti Perak (36), Kedah (25) dan Putrajaya (22).
Menurutnya, operasi memberi tumpuan kepada pematuhan syarat pas oleh warga asing.
Penyalahgunaan pas atau penglibatan dalam aktiviti yang tidak dibenarkan boleh membawa kepada pembatalan pas, penahanan, pendakwaan serta pengusiran dari negara ini.



