KOTA SAMARAHAN: Kementerian Perladangan dan Komoditi melalui Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) memperkukuh pembangunan bakat sektor agrikomoditi negara menerusi kerjasama strategik bersama institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pemain industri utama.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, langkah itu penting kerana TVET bukan sekadar pilihan alternatif, sebaliknya diangkat sebagai laluan perdana yang menjanjikan jaminan kerjaya stabil, pendapatan kompetitif serta prospek masa depan yang cemerlang.
“Bagi memperkasakan agenda ini, kementerian melalui IMPAC memeterai kerjasama strategik bersama institusi peneraju seperti Sarawak Skills, Sabah Skills and Technology Centre serta Kolej RISDA.
“Kerjasama ini menjadi teras kepada pengukuhan ekosistem pembangunan bakat bagi sektor agrikomoditi negara, sekali gus membolehkan kita melangkah lebih jauh daripada pendekatan latihan yang bersifat generik,” katanya sempena Program TVET MyKomoditi di Dewan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Tambahnya, setiap modul kini dirangka secara teliti, berfokus dan berpacukan industri bagi memastikan pelatih bukan sahaja menepati piawaian industri, malah dilengkapi dengan kompetensi praktikal serta persekitaran pembelajaran yang kondusif untuk membentuk generasi yang bersedia menghadapi cabaran operasi sebenar.

Katanya, hari ini (4 Mei) menjadi detik bersejarah apabila menyaksikan pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara IMPAC dengan institusi TVET dan gergasi industri negara seperti SD Guthrie, SALCRA Berhad, Genting Plantations serta TH Plantations.
“Menerusi inisiatif ini, saya dimaklumkan kira-kira 300 perantis dalam kalangan anak muda tempatan akan diasah bakat dalam bidang pengkhususan teknikal seperti Pakar Penuaian (Harvesting Specialist) dan Pakar Mesin (Machine Specialist),” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan program tersebut turut meraikan kejayaan kumpulan perantis yang menamatkan Program Pakar Penuaian dengan cemerlang.
“Kejayaan dan keberkesanan TVET bergantung kepada jalinan kerjasama kukuh antara kerajaan dengan institusi penyedia latihan dan pemain industri,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau memberitahu komitmen tersebut digerakkan sejajar dengan aspirasi Dasar TVET Negara 2030 yang meletakkan industri di barisan hadapan pemerkasaan bakat.
“Kita kini berada pada fasa industri bukan lagi sekadar pengguna akhir tenaga kerja. Sebaliknya, pemain industri diangkat sebagai rakan strategik utama dalam membentuk standard pekerjaan, merangka modul latihan rintis, memacu inisiatif Akademi Dalam Industri (ADi) serta meluaskan prospek kerjaya,” tegasnya.



