ARTIKEL

Datuk Seri Fatimah Abdullah bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat OSC MIDS di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.

Impak positif tangkapan, rampasan dadah dan substans di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jawatankuasa Sehenti (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) mencapai impak positif dalam tangkapan dan rampasan berkaitan dadah dan substans tahun lalu. 

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, sebanyak 11,470 tangkapan direkodkan pada tahun 2023 menerusi 7,841 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

Katanya, daripada tangkapan itu, 564 tangkapan melibatkan pengerdaran, 2,066 memiliki dadah dan substans dan 8,840 individu yang disaring positif urin. 

“Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 12.04 peratus berbanding dengan tangkapan dalam tempoh yang sama pada tahun 2022 (10,237 tangkapan).

“Saya ucapkan tahniah kepada agensi penguatkuasaan kita. Dari segi rekod kita menunjukkan peningkatan tangkapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat OSC MIDS di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.

Dari segi rampasan, Fatimah berkata, sebanyak 1,293.6 kg dadah dan substans berbentuk mampat dan 36,702 berbentuk pil telah dirampas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Kastam dengan anggaran nilai berjumlah RM151 juta.

Katanya, nilai rampasan tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak 1,443% berbanding dengan tahun 2022 (RM9.788 juta).
 
“Impak rampasan dadah pada tahun 2023 ini mampu menyekat sebanyak 1.33 juta kali penggunaan dadah dan substans terlarang dan menyelamatkan 332,586 individu bagi tempoh sebulan.

“Peningkatan peratusan tangkapan dan nilai dadah yang dirampas adalah impak positif pendekatan kita dalam menangani ancaman isu dadah dan substans di Sarawak.

“Ini melibatkan penyertaan, pengiktirafan dan 
penilaian risiko dan permulaan tindakan bersepadu untuk menghapuskan atau mengurangkan bekalan dan permintaan untuk dadah dan substan, dua strategi utama dalam Pelan Tindakan OSC MIDS Sarawak sejak 2018,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU