KANOWIT: Akhirnya isu Jalan Menalun ke SK Menalun di Sungai Poi dekat sini berjaya direalisasikan apabila Adun Machan Allan Siden Gramong merasmikan majlis pecah tanah projek itu di Sungai Poi.
Projek untuk keselesaan dan kemudahan rakyat di kawasan berkenaan merupakan salah satu isu yang sering dibangkitkan Allan pada setiap sidang Dun.
“Akhirnya projek ini dapat perhatian kerajaan. Kerja akhir dianugerah kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Sibu sebagai agensi pelaksana pada awal Februari tahun ini.
“Projek ini dilulus di bawah RMK-11 ketika masih di bawah naungan BN dahulu lagi,” katanya menambah, tarikh projek ini dijadualkan pada 16 Mei 2023.
Jelasnya, projek itu memudahkan penduduk di kawasan Menalun, Sungai Poi apabila dapat dihubungkan dengan dunia luar serta tidak lagi menggunakan pengangkutan sungai.
Beliau memberitahu, kos pembinaan projek ini adalah melibatkan kos sebanyak RM15 juta. “Ia merangkumi sebuah jambatan konkrit selebar 7.2 meter,” tambah-nya lagi.

