SRI AMAN: Satu sosok tubuh manusia disahkan rentung dalam insiden kebakaran kereta di Kampung Nanga San dekat Jalan Brayun, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, tiada sebarang maklumat lanjut mengenai kereta dan individu di dalam kereta terbabit.
Menurutnya, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dimaklumkan tentang kebakaran sekitar 10.04 pagi.
“Sebaik pasukan Alfa diketuai PBK II Mohd Fadhli Buyong tiba di lokasi, kereta telah terbakar 100 peratus.
“Selepas api dapat dipadamkan, kita menemukan sosok tubuh manusia dalam keadaan rentung akibat kebakaran,” katanya, hari ini.
Bagaimanapun, tiada sebarang maklumat ditemukan.
Mayat jelasnya, diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Turut berada di lokasi Pegawai Penyiasat Kebakaran Lawrance Rungan dan Ketua Bomba dan Penyelamat Sri Aman Andrew Vengitasamy.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mathew Manggi ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat yang rentung tersebut, dan menyatakan pihaknya masih melakukan siasatan lanjut.
Sehingga berita ini ditulis tiada sebarang kenyataan lanjut dikeluarkan oleh pihak polis.


