JAKARTA: Tentera Laut Indonesia pada Isnin secara rasmi menerima kapal penyelamat kapal selam pertamanya, KRI Canopus-936, bertujuan untuk mengukuhkan pengawasan bawah air dan keupayaan mencari dan menyelamat (SAR) maritim.
Ketua Tentera Laut Adm Muhammad Ali berkata KRI Canopus-936 dibina menerusi kerjasama antara pembuat kapal Jerman Abeking & Rasmussen dan firma Indonesia Palindo Marine, dengan komponen tempatan membentuk 60 peratus kapal itu.
Beliau berkata kapal berkenaan dilengkapi dengan sistem canggih termasuk Pelancar Ukur Hidrografi (HSL), Kenderaan Dalam Air Berautonomi (AUV), Kenderaan Dikendalikan Jauh (ROV), Kenderaan Permukaan Berautonomi (ASV) dan Kenderaan Udara Tanpa Pemandu (UAV).
“Peralatan itu digunakan untuk menjalankan tinjauan hidrografi, oseanografi dan geofizik serta pemetaan terperinci dasar laut,” katanya menurut Agensi Berita Antara, pada Isnin.
Kapal tersebut tiba di Jeti Kolinlamil di Jakarta dan diterima oleh Timbalan Menteri Pertahanan Donny Ermawan Taufanto, Panglima Angkatan Tentera Indonesia (TNI) Jen Agus Subiyanto dan pegawai kanan Tentera Laut.
Selain pemantauan dalam air, Muhammad Ali berkata kapal itu boleh menyokong operasi ketenteraan seperti pemetaan laluan kapal selam, pengesanan periuk api laut, rondaan keselamatan maritim dan misi perisikan.
Beliau berkata KRI Canopus-936 juga mampu menjalankan operasi SAR dalam air termasuk mengesan isyarat kecemasan dan mengesan objek di dasar laut justeru membolehkan Tentera Laut bertindak balas terhadap kemalangan kapal selam di laut.-Bernama



