ARTIKEL

FOTO GHAZALI BUJANG

Industri digital perlu seimbang dengan keselamatan kanak-kanak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Perkembangan industri digital dan permainan perlu diseimbangkan dengan aspek keselamatan kanak-kanak bagi memastikan teknologi bukan sahaja memberi manfaat, malah menyediakan persekitaran dalam talian yang bertanggungjawab, kata Robert Gass.

Wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia dan Wakil Khas UNICEF Brunei Darussalam itu berkata pendekatan tersebut penting bagi membolehkan kanak-kanak menikmati peluang pembelajaran, hubungan dan hiburan melalui teknologi digital tanpa mengabaikan risiko yang boleh menjejaskan keselamatan mereka.

Justeru, katanya, usaha mewujudkan persekitaran digital yang selamat merupakan tanggungjawab bersama yang turut melibatkan ibu bapa, kanak-kanak, pembangun teknologi, industri permainan dan media.

“Bagaimanapun, ini bukan bermakna kita tidak mahukan teknologi. Sebaliknya, kita sangat mengalu-alukannya, namun pada masa sama kita mahu memastikan teknologi ini dibangunkan dan digunakan secara lebih bertanggungjawab,” katanya pada sesi meja bulat UNICEF bersama media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata teknologi digital menawarkan pelbagai manfaat kepada kanak-kanak, khususnya dari aspek pembelajaran dan hubungan sosial, namun penggunaannya perlu disertai langkah perlindungan yang sewajarnya.

“Saya berasa ia merupakan antara bidang yang paling pesat berubah pada masa ini. Apa yang kita lihat ialah teknologi bukan sesuatu yang semata-mata baik atau buruk kerana terdapat banyak peluang yang boleh dimanfaatkan, termasuk untuk berhubung, belajar dan meningkatkan kesejahteraan secara keseluruhan.

“Apabila berada dalam talian, kita juga boleh memperoleh banyak pengalaman positif. Kadang-kadang, kita dapat mengetahui apa yang dilakukan oleh rakan-rakan, manakala dalam keadaan lain, kita boleh belajar atau mendapatkan maklumat mengenai tempat-tempat menarik yang mungkin ingin kita kunjungi ketika melancong,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan UNICEF menyokong sepenuhnya hasrat Malaysia dan Sarawak untuk mengembangkan industri digital dan menjadikannya sebagai salah satu komponen yang lebih kukuh dalam keseluruhan ekonomi.

“Namun, kami mahu memastikan ia dilaksanakan secara bertanggungjawab. Ini bermakna aspek perlindungan perlu diterapkan dalam sistem tersebut, bukan sahaja bagi mengurangkan risiko tetapi juga untuk memperkayakan pengalaman pengguna,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU