SARIKЕI: Industri lada Sarawak terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila menyumbang kira-kira RM2.27 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara pada 2025, meningkat 1.4 peratus berbanding RM2.24 bilion pada tahun sebelumnya.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, peningkatan itu mencerminkan keupayaan komoditi berkenaan untuk terus menjadi pemacu penting kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak dan negara.
Pencapaian itu, katanya, turut didukung kira-kira 39,000 pekebun kecil yang memainkan peranan utama dalam memastikan pengeluaran serta mutu lada Sarawak sentiasa berada pada tahap tinggi.
“Kedudukan lada Sarawak sebagai produk berkualiti tinggi turut diperkukuh selepas komoditi itu memperoleh pengiktirafan Petunjuk Geografi pada 2003.
“Pengiktirafan itu bukan sahaja melindungi identiti dan asal usul lada Sarawak, malah memberi peluang untuk memperluaskan penghasilan produk hiliran yang mempunyai nilai tambah serta potensi pasaran lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival AgriKomoditi MADANI Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Dewan Sentral Sarikei, di sini, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Noraini berkata, Program BUDI Agri-Komoditi kini diperluaskan ke Sabah dan Sarawak, bermula 22 Jun lalu, bagi membantu golongan petani dan pekebun kecil yang terlibat dalam sektor sawit, getah, koko, lada dan kenaf.
Menerusi program itu, penerima yang memenuhi syarat ditetapkan layak menerima bantuan tunai sebanyak RM400 sebulan bagi meringankan beban serta membantu meningkatkan kesejahteraan golongan terbabit.
Sehingga Jun 2026, katanya, kira-kira 93,819 individu di Sarawak dikenal pasti sebagai berpotensi memohon bantuan berkenaan, tertakluk kepada kriteria dan syarat kelayakan yang ditetapkan kerajaan.
“Sehubungan itu, saya menggesa agensi berkaitan memperhebat penyampaian maklumat kepada masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar, supaya golongan sasar mendapat penerangan yang tepat mengenai proses pendaftaran, syarat kelayakan dan kaedah permohonan, sekali gus memastikan kemudahan kerajaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Kapsyen: Dr. Noraini meninjau pameran sempena Karnival AgriKomoditi MADANI Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Dewan Sentral Sarikei, semalam.


