ARTIKEL

Penghantaran sejumlah sembilan kapal tunda baharu yang dibina di Sibu.

Industri pembinaan kapal Sarawak cipta sejarah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Industri pembinaan kapal Sarawak mencipta sejarah tersendiri apabila Winning International Group — sebuah konglomerat maritim bertaraf global menyiapkan pembinaan dan penyerahan sejumlah sembilan kapal baharu bernilai SGD23 juta atau sekitar RM74 juta.

Ia merangkumi kapal tunda dan kapal tunda pelabuhan yang akan digunakan bagi operasi logistik luar pesisir serta pemindahan kargo di Pelabuhan Guinea, Afrika Barat yang merupakan sebahagian daripada operasi antarabangsa kumpulan berpusat di Singapura itu.

Menurut Naib Presiden Kanan Winning International Group, Sun Zhijun, setakat ini terdapat lebih 40 kapal tunda pelbagai jenis berjaya dibina, sekali gus membuktikan kemampuan Sarawak dalam pembinaan kapal hijau mengikut standard global.

“Reka bentuk serta konfigurasi kapal tunda yang dihasilkan di Sibu sangat menepati keperluan operasi kumpulan di Afrika Barat.

“Malah, ia dibina dengan struktur boleh dipercayai, mudah dikendalikan dan diselenggara, sekali gus bukti hubungan kerjasama yang kukuh dan berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini, selepas penyerahan sembilan kapal baharu di Kompleks Pembinaan Kapal di Sibu.

Penghantaran sejumlah sembilan kapal tunda baharu yang dibina di Sibu.

Sebagai pengiktirafan, kejayaan industri pembinaan kapal Sarawak akan dipamerkan pada Asia Pacific Maritime (APM) di Singapura dari 25 hingga 27 Mac 2026, dengan sokongan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED)  serta Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS).

“Penyertaan ini dijangka mengukuhkan kehadiran serantau Sarawak dan mempromosikan keupayaan pembinaan kapal bertaraf dunia kepada pasaran global,” ujarnya.

STATOS merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak sejak Jun 2019, bertujuan memperkukuh rangkaian perdagangan, pelaburan dan pelancongan antara Singapura, Sarawak dan dunia. Ia menyediakan khidmat nasihat kepada peniaga, pengimport, pengeksport, pelabur serta penggiat pelancongan yang ingin memanfaatkan kedudukan potensi sumber di negeri ini.

Dalam pada itu, kemudahan kompleks tempatan tersebut juga sangat fleksibel dalam menyesuaikan reka bentuk serta spesifikasi mengikut keperluan pelanggan dan menawarkan perkhidmatan bernilai tambah yang sangat baik.

“Tempoh pembinaan dikendalikan dengan baik dan secara keseluruhan prestasi kos sangat berdaya saing.

“Ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan penyelenggaraan dan pengurusan, bahkan mencerminkan profesionalisme serta kestabilan Sibu dalam pasaran pembinaan kapal antarabangsa,” jelasnya

Mengulas lanjut ujarnya, semua kapal tersebut turut melalui beberapa siri pengoptimuman reka bentuk termasuk peningkatan dari segi kelajuan, dan daya tarikan serta kebolehupayaan.

“Semua kapal juga mematuhi spesifikasi terkini Persatuan Klasifikasi Kapal Antarabangsa (IACS), merangkumi pensijilan daripada Nippon Kaiji Kyokai (NK) dan China Classification Society (CCS) dengan proses pembinaan diselia sepenuhnya oleh badan klasifikasi.

“Semua peralatan utama diperakui, manakala enjin utama setiap kapal mematuhi piawaian pelepasan alam sekitar peringkat II, selaras dengan kehendak Organisasi Maritim Antarabangsa (IMO),” ujarnya.

Katanya lagi, kerjasama berterusan ini turut menonjolkan daya saing antarabangsa, yang kini semakin meningkatkan kapasiti serta keupayaan teknikal dan menjadi salah satu pemacu utama pembangunan industri maritim dan perindustrian.

“Kumpulan kami juga akan terus mempromosikan pembangunan lestari industri maritim wilayah ini serta menyumbang kepada proses pengantarabangsaan sektor pembinaan kapal Sarawak dan Malaysia,” tegasnya lagi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU