ARTIKEL

Nancy (kanan) bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Hari Wanita Antarabangsa Peringkat Zon Borneo 2025 di Hotel UCSI, Kuching, hari ini.

Industri penjagaan tingkatkan penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Industri penjagaan memainkan peranan penting untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan ketika ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkara tersebut penting kerana ada dalam kalangan wanita memilih untuk tidak bekerja kerana perlu menjaga anak, orang tua dan ahli keluarga.

Katanya, jika perkhidmatan penjagaan kurang diperkenalkan bagi membantu wanita berkerjaya ini, maka ia akan menjadi cabaran besar buat mereka.

“Disebabkan itu, kerajaan turut memperkenalkan subsidi untuk kakitangan kerajaan yang hendak menghantar anak-anak ke Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA).

“Bagaimanapun, inisiatif tersebut tidak melibatkan kakitangan swasta, dan kita menggalakkan supaya syarikat swasta dapat memperkenalkan bantuan yang sama atau pengurangan bayaran yuran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Hari Wanita Antarabangsa Peringkat Zon Borneo 2025 di Hotel UCSI di sini, hari ini.

Sehubungan itu, tambah Nancy, pihaknya memandang serius usaha untuk memastikan kementerian lain dapat memberi sokongan kepada wanita supaya isu kekurangan 60 peratus wanita berkerjaya dapat diatasi.

“Justeru, kita mengharapkan supaya dasar-dasar yang diperkenalkan juga menjadi lebih mesra wanita untuk memudahkan mereka dalam pekerjaan.

“Kita juga berharap agar sektor swasta turut memberikan usaha yang sama dalam memperkenalkan dasar untuk membantu wanita, termasuk mewujudkan TASKA di tempat kerja,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menambah bahawa syarikat besar dan badan korporat selalunya menyediakan kemudahan tersebut, sekali gus perlu mempunyai dasar supaya ibu bapa dapat menghantar anak ke pusat asuhan di tempat kerja.

“Di Semenanjung Malaysia, kita dapat melihat syarikat swasta menambah pusat jagaan dan TASKA di tempat kerja untuk membantu kakitangan.

“Jadi, kita melihat dorongan seperti ini dilaksanakan, dan berharap agar lebih banyak usaha sedemikian dilaksanakan selepas ini,” tegasnya.

Pada Persidangan Dewan Rakyat tahun lalu, Nancy memaklumkan bahawa kementeriannya memberi fokus kepada usaha untuk memperkasakan golongan wanita secara berstruktur.

Menurutnya, langkah berkenaan penting untuk memastikan kadar penyertaan tenaga buruh wanita mencecah 60 peratus seperti disasarkan dalam Kerangka Ekonomi MADANI.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU