KUCHING: Kerajaan Sarawak meletakkan komitmen tinggi bagi memastikan industri semikonduktor berupaya muncul sebagai tonggak strategik pembangunan perindustrian dan ekonomi jangka panjang negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Sarawak tidak bermula daripada sifar, sebaliknya telah lama menjadi tuan rumah kepada operasi semikonduktor yang mantap termasuk industri sokongan yang berkaitan.
Menurutnya, kelebihan itu disokong oleh bekalan tenaga yang andal dan berdaya saing dari segi kos menerusi kuasa hidro dan tenaga boleh diperbaharui, ketersediaan tanah bagi tujuan perindustrian serta kumpulan bakat mahir yang semakin berkembang.
“Sehubungan itu, Kerajaan Sarawak mempunyai komitmen untuk meletakkan industri semikonduktor sebagai tonggak strategik pembangunan perindustrian dan ekonomi jangka panjang negeri ini,” katanya.
Beliau menambah, Sarawak menawarkan kestabilan, keselamatan tenaga serta kejelasan dasar jangka panjang pada ketika rantaian bekalan global sedang mencari daya tahan dan kepelbagaian yang lebih kukuh.
“Sarawak kekal fokus untuk memastikan bekalan kuasa yang andal dan berpatutan, memperkukuh infrastruktur perindustrian, memperkemas fasilitasi pelaburan serta memperdalam kerjasama dengan industri dan institusi pendidikan bagi menyokong pembangunan bakat dan penaiktarafan teknologi,” ujarnya.
Awang Tengah sebelum itu mengadakan perbincangan strategik tertutup bersama kepimpinan Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA).
Sarawak seterusnya mengukuhkan kedudukannya dalam landskap semikonduktor Malaysia susulan lawatan peringkat tinggi oleh MSIA yang melibatkan 33 syarikat dan hampir 50 wakil kanan industri, diketuai Presidennya Datuk Seri Wong Siew Hai.
Wong berkata, persatuan itu bersedia membantu Sarawak dalam merealisasikan aspirasinya untuk muncul sebagai hab semikonduktor baharu.
“Inisiatif ini bertujuan membina keyakinan dalam kalangan syarikat supaya mempertimbangkan Sarawak sebagai destinasi yang berdaya maju bagi pelaburan jangka panjang dalam sektor semikonduktor,” katanya sambil menambah bahawa peluang tersebut berpotensi direalisasikan melalui kerjasama strategik.
Pada Selasa, program sehari yang dikendalikan oleh InvestSarawak telah menghimpunkan syarikat multinasional dan pemain teknologi yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai semikonduktor.
Syarikat yang mengambil bahagian termasuk Infineon Technologies, Intel, X-FAB, Melexis, Motorola Solutions, IBM ASEAN, Applied Materials, Inari, Plexus dan Penguin Solutions (Smart Modular), selain pengeluar peralatan, pakar automasi, firma kejuruteraan bilik bersih, penyedia logistik serta organisasi pembangunan bakat.
Penglibatan ini susulan perbincangan di Forum Pelaburan Semikonduktor Sarawak di Pulau Pinang pada Ogos 2025, apabila minat tinggi dalam kalangan ahli MSIA mendorong penganjuran program yang lebih tertumpu dan menyeluruh di Kuching.
Semasa lawatan tersebut, delegasi menerima taklimat daripada SMD Semiconductor, X-FAB Sarawak dan Melexis yang berkongsi pandangan secara langsung mengenai ekosistem fabrikasi wafer serta pembuatan semikonduktor di Sarawak.



