KUCHING: Sarawak mengambil langkah proaktif dalam usaha memperkasa industri ternakan ruminan, dengan mengkaji sistem penternakan lembu Brazil, negara yang terkenal sebagai antara pengeksport utama daging lembu dunia.
Menerusi satu lawatan kerja yang diketuai oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Sri Dr. Stephen Rundi Utom, ia antara lain bagi meninjau secara dekat industri ternakan ruminan yang pesat berkembang di negara tersebut.
Menurut Rundi, lawatan dari 8 hingga 18 Mac tersebut juga untuk meneroka peluang pelaburan dan kerjasama strategik untuk diterapkan di Sarawak.
“Populasi lembu di Sarawak kini hanya sekitar 22,000 ekor dengan kadar sara diri 15 peratus. Kita menyasarkan untuk meningkatkan populasi kepada 80,000 ekor dan mencapai 25 peratus tahap sara diri menjelang 2030,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, industri lembu di Brazil wajar dijadikan contoh kerana negara itu memiliki lebih 226 juta ekor lembu, dengan 80 peratus daripadanya baka Zebu atau Nelore yang tahan lasak dan sesuai untuk iklim tropika.
Ujarnya, pada tahun lalu sahaja, Brazil berjaya mengeksport 2.89 juta tan daging lembu dengan nilai mencecah USD12.8 bilion.
“Malah, negara itu kini dalam proses mendapatkan pengiktirafan bebas penyakit Kuku dan Mulut (FMD) daripada Badan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH), selain sudah bebas dari penyakit African Swine Fever (ASF) dan Avian Influenza (AI).
“Pendedahan kepada sistem penternakan moden dan teknologi pembiakbakaan di Brazil ini diyakini membuka ruang kepada Sarawak untuk meneroka potensi besar dalam industri lembu, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada negara luar,” jelasnya.
Antara lokasi utama yang dikunjungi termasuklah Kementerian Pertanian, Ternakan dan Bekalan Makanan Brazil (MAFA) membincangkan mengenai industri ternakan negara itu, selain mengadakan pertemuan dengan Brazilian Agricultural Research Corporation (Embrapa) untuk meneroka peluang kerjasama penyelidikan.
Delegasi turut meninjau operasi loji pemprosesan dan rumah sembelih syarikat gergasi daging dunia, JBS S.A di Goiania, serta melawat loji pemprosesan ayam milik BRF S.A di Uberlandia dan loji pemprosesan babi di Uberaba.
Lawatan ke pusat teknologi genetik ABS Global di Delta dan Persatuan Baka Zebu turut memberi pendedahan tentang kemajuan teknologi pembiakbakaan lembu, khususnya baka Zebu atau Nelore yang mendominasi industri ternakan di negara itu.
Delegasi juga berpeluang melawat koperasi terbesar penanam kopi Arabica di Brazil, Cooxupe Regional Cooperative of Coffee Growers di Guaxupe sebagai nilai tambah kepada misi lawatan tersebut.
Lawatan ini dijangka menjadi pencetus kepada perancangan strategik dan pelaburan baharu dalam industri ternakan ruminan Sarawak, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk meningkatkan pengeluaran makanan dan mencapai tahap sara diri yang lebih baik menjelang 2030.


