COLOMBO: Sri Lanka sekali lagi menaikkan harga bahan api hampir empat peratus hari ini, langkah yang dilihat terus membebankan rakyat ketika negara itu masih bergelut menstabilkan ekonomi pascakrisis.
Sejak Mac lalu, harga bahan api telah meningkat lebih 35 peratus, manakala tarif gas dan elektrik turut mencatat kenaikan hampir sama, sekali gus memberi kesan langsung kepada kos kehidupan harian. Kenaikan terbaharu menyaksikan harga petrol meningkat 12 rupee kepada 410 rupee (AS$1.32) seliter, manakala diesel naik 10 rupee kepada 392 rupee.
Harga minyak tanah yang banyak digunakan dalam sektor pertanian pula meningkat kepada 265 rupee seliter.
Lonjakan harga tenaga ini menjadi faktor utama peningkatan inflasi kepada 5.4 peratus pada April, lebih dua kali ganda berbanding bulan sebelumnya, menurut data rasmi.
Jabatan Banci dan Statistik Sri Lanka memaklumkan, peningkatan tarif bahan api dan elektrik turut menyebabkan kos pengangkutan dan harga makanan meningkat, sekali gus menambah tekanan terhadap isi rumah berpendapatan rendah.
Dalam masa sama, negara itu masih berdepan gangguan bekalan sehingga memaksa pelaksanaan catuan bahan api di beberapa kawasan. Sri Lanka kini berada dalam fasa pemulihan selepas krisis ekonomi terburuk pada 2022, apabila negara itu kehabisan rizab pertukaran asing hingga gagal membiayai import asas seperti makanan, bahan api dan ubatubatan.
Usaha pemulihan itu bagaimanapun terus diuji apabila negara berkenaan dilanda taufan besar pada November lalu, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 643 nyawa serta menjejaskan lebih 10 peratus daripada keseluruhan penduduknya.
Menurut Bank Dunia, bencana itu mengakibatkan kerosakan fizikal dianggarkan bernilai AS$4.1 bilion, melibatkan infrastruktur dan sektor pertanian.
Ketika ini, Sri Lanka sedang berusaha menstabilkan ekonominya dengan sokongan pakej bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bernilai AS$2.9 bilion yang dipersetujui pada awal 2023.
Namun, penganalisis melihat kenaikan berterusan harga tenaga berpotensi menjadi penghalang utama kepada usaha pemulihan ekonomi negara itu dalam jangka masa terdekat. – AFP



