ARTIKEL

LAWAT....Hanifah mengadakan lawatan mesra ke Hospital Mukah, petang semalam.

Infrastruktur asas perkukuh sistem kesihatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Kerjasama antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan kementerian amat penting dalam pelaksanaan pembangunan di sesuatu kawasan, khususnya yang melibatkan hospital atau klinik.

LAWAT….Hanifah mengadakan lawatan mesra ke Hospital Mukah, petang semalam.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, pembinaan hospital dan klinik semata-mata tidak mencukupi tanpa sokongan infrastruktur asas yang menyeluruh.

Menurutnya, sokongan itu termasuk penyediaan jalan raya, bekalan air terawat, bekalan elektrik dan kemudahan komunikasi, khususnya di kawasan pedalaman.

“Kemudahan ini penting bagi memastikan sistem penyampaian kesihatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan mesra ke Hospital Mukah, petang semalam.

Mengulas lanjut, Hanifah yang juga Ahli Parlimen Mukah berkata, teknologi memainkan peranan penting, khususnya bagi mendapatkan khidmat nasihat kepakaran sekiranya tiada doktor pakar di sesuatu kawasan.

Jelasnya, dengan bantuan tersebut, insya-Allah usaha menyelamatkan nyawa serta mencari kaedah mengatasi masalah dapat dilaksanakan.

Walaupun tidak berlatarbelakangkan perubatan, beliau menekankan peranannya dari sudut pengurusan bagi menyesuaikan pelbagai pendekatan dalam mengatasi masalah yang dihadapi.

Menyentuh mengenai Mesyuarat Pengarah Kesihatan Negeri bersama ketua-ketua pusat bertanggungjawab pada sebelah pagi, Hanifah berkata mesyuarat itu bertujuan mengetahui status semasa hospital, klinik dan pejabat kesihatan.

Mesyuarat yang diadakan secara berkala sehingga empat kali setahun itu penting bagi menilai prestasi perkhidmatan, mengenal pasti keperluan pembangunan serta merangka penambahbaikan yang lebih berkesan.

Beliau turut menegaskan pendekatan holistik perlu diutamakan dalam merancang hala tuju sektor kesihatan dan tidak hanya tertumpu kepada aspek pengurusan semata-mata.

Selain itu, kawasan yang mencatat kadar penyakit tinggi perlu dikenal pasti lebih awal supaya kepakaran bersesuaian dapat dibawa masuk ke hospital atau fasiliti kesihatan berkaitan.

Dalam pada itu, sebanyak 30 sumbangan bakul makanan telah diagihkan kepada pesakit di Hospital Mukah semasa lawatan tersebut.

Tambahnya, sumbangan itu bertujuan menyantuni pesakit selain memberi sokongan moral serta menyemarakkan rasa kebersamaan dan keprihatinan terhadap kebajikan mereka.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU