KUCHING: Pelaksanaan infrastruktur utama secara menyeluruh dan dipercepatkan dikenal pasti sebagai faktor kritikal bagi memastikan kejayaan pembangunan kawasan jelapang padi di Sarawak sebagai hab keterjaminan makanan utama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, ini kerana kelemahan dari segi pelaksanaan infrastruktur itu dapat dilihat dalam Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar yang menjejaskan kejayaan projek berkenaan.
Menjelas lanjut, beliau berkata menurut pembentangan rasmi pembangunan IADA Batang Lupar, keseluruhan kawasan pembangunan jelapang padi yang dirancang meliputi kira-kira 5,100 hektar melibatkan Lingga/Banting (2,100 hektar), Seduku (1,500 hektar), Bijat (700 hektar), Stumbin (550 hektar), Gran (140 hektar) dan Entulang (110 hektar).
Katanya, ini jelas menunjukkan bahawa Batang Lupar mempunyai potensi strategik yang sangat besar untuk menjadi salah satu hab keterjaminan makanan penting Sarawak.
Bagaimanapun, katanya, prestasi pengeluaran semasa IADA Batang Lupar masih rendah pada kadar 3.43 mt/ha bagi musim utama tahun 2023/2024 manakala pengeluaran luar musim mencapai 4.47 mt/ha berbanding dengan kawasan pengeluar padi yang lebih maju seperti Lubok Punggur, Tanjung Purun dan negeri-negeri lain.
“Menurut Pelan Pembangunan IADA Batang Lupar 2021–2030, antara fokus utama yang dikenal pasti ialah pembangunan infrastruktur pengairan dan saliran yang lengkap secara berfasa.
“Ini sendiri membuktikan bahawa infrastruktur masih merupakan salah satu kelemahan kritikal yang menjejaskan kejayaan projek ini. Laporan tersebut juga jelas menunjukkan bahawa beberapa projek infrastruktur utama masih dilaksanakan secara berfasa di bawah RMKe-12 dan RMKe-13 melibatkan sistem pengairan, saliran tertier, jalan ladang, sistem pam dan infrastruktur pengurusan air.
“Lebih membimbangkan lagi, menurut pelan pembangunan Bijat/Stumbin Fasa 2 yang melibatkan Seduku, laporan tersebut menyatakan bahawa sebahagian projek masih dalam semakan reka bentuk dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2030,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Justeru, Dayang Noorazah yakin Sarawak bukan sahaja berpotensi menjadi kawasan pengeluar padi utama, malah mampu muncul sebagai simbol transformasi luar bandar dan daya tahan Sarawak sekiranya langkah penting untuk memperkukuhkan kawalan terhadap industri padi dan beras menerusi RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 berjaya.
Beliau berkata, ia juga membuktikan bahawa apabila agensi kerajaan, kepimpinan politik, petani dan rakyat bergerak bersama dengan satu visi, perkara yang mustahil boleh menjadi kenyataan.
“Suatu hari nanti, mungkin anak-anak Lingga, Seduku, Bijat, Stumbin dan Batang Lupar tidak lagi perlu meninggalkan kampung mereka untuk mencari peluang di tempat lain kerana peluang itu sendiri akan wujud di tanah air mereka.
“Dan apabila hari itu tiba, kejayaan RUU ini bukan sahaja akan diukur melalui tan metrik padi, ia akan diukur melalui maruah yang dikembalikan kepada petani kita, pendapatan yang diperoleh keluarga luar bandar, keyakinan golongan muda dan harapan yang dikembalikan kepada rakyat,” katanya.
Menurutnya, cabaran besar yang mesti ditangani ialah penurunan minat golongan belia terhadap bidang pertanian yang sejak sekian lama dikaitkan dengan pekerjaan 3D (Kotor, Berbahaya dan Sukar) serta dilihat sebagai memenatkan secara fizikal, berisiko, berpendapatan rendah, kurang prestij dan tidak selari dengan aspirasi moden.
Sehubungan itu, Dayang Noorazah menegaskan kerajaan mesti mengubah pertanian daripada industri 3D kepada industri 4D+ (Digital, Bermaruah, Berasaskan Data, Dinamik dan berorientasikan masa depan).
“Hari ini, kita sedang menentukan sama ada komuniti luar bandar akhirnya dapat bangkit dengan penuh maruah setelah menunggu begitu lama.
“Rakyat sudah terlalu lama menunggu. Mereka telah melihat pelan pembangunan, menghadiri taklimat dan mendengar janji.
“Kini mereka mahukan hasil. Tanah sudah tersedia, petani sudah bersedia, teknologi sudah pun wujud, potensi telah terbukti melalui data. Apa yang rakyat perlukan sekarang ialah kepimpinan yang tegas, penyelarasan yang cekap, pelaksanaan yang dipercepatkan dan komitmen politik yang tulen,” katanya.


