KUCHING: Kerosakan infrastruktur di beberapa kawasan Tebedu akibat banjir dan tanah runtuh susulan Monsun Timur Laut yang berlarutan sejak November 2025 hingga Mac lalu menjejaskan kehidupan penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, situasi ini menuntut tindakan segera bagi membaik pulih kemudahan asas yang terjejas demi keselesaan dan keselamatan rakyat di kawasan berkenaan.
“Antara kawasan paling terkesan termasuklah Kampung Krusen Siyu yang terputus hubungan selepas jambatan gantung runtuh, selain Kampung Krusen Keranji yang mengalami kejadian jalan runtuh.
“Turut terjejas ialah Kampung Tema Mawang, Kampung Tema Penggal, Kampung Tema Saan, Kampung Tubuh Behem dan Kampung Tubih Sungai Ujan, Kampung Tebedu Mawang, Kampung Gahat Mawang, Kampung Daha Kisau, Kampung Daha Mawang serta Kampung Sungan yang mengalami banjir serius akibat hujan berterusan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan Atas Ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Tambah beliau, keadaan ini menyebabkan rumah-rumah ditenggelami air, selain kerosakan infrastruktur seperti jalan raya, paip pecah dan tiang elektrik tumbang serta kerosakan harta benda penduduk.
“Pun begitu, kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat melalui bantuan yang disalurkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Serian yang banyak membantu meringankan beban mangsa terjejas.
“Bantuan ini membuktikan Kerajaan Sarawak pimpinan GPS sentiasa dekat dengan rakyat dalam apa-apa jua keadaan,”ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar kerja-kerja pemulihan segera dilaksanakan.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan RM1 juta bagi membaiki jambatan gantung yang roboh.
“RM800,000 peruntukan untuk pembinaan jalan alternatif menggantikan jalan yang runtuh di Kampung Krusen Keranji,”tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut membangkitkan isu berterusan berkaitan capaian Internet di kawasan Tebedu yang masih belum mencapai tahap memuaskan.



