KUCHING: Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar 2026 bukan sekadar platform untuk mempertandingkan hasil projek, tetapi cerminan komitmen berterusan dalam menyelesaikan masalah secara kreatif dan penambahbaikan berterusan dalam penyampaian perkhidmatan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata dengan slogan ’Inovasi Kreatif, Penyelesaian Efektif’, inovasi mampu mewujudkan budaya kerja yang efisien.
“Inovasi yang terhasil melalui idea-idea bernas akan menjadikan Sarawak terus ke hadapan dan dipandang tinggi kerana perubahan yang berlaku bersifat positif akan menjadikan Sarawak sebagai ikon teladan bagi negeri lain untuk membudaya pemikiran kritis dan inovasi,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen KIK, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Tahun 2026 di sini, hari ini.
Terdahulu, Len menegaskan dalam cabaran perkhidmatan masa kini, pendekatan perniagaan seperti biasa sudah tidak lagi relevan, dengan keperluan pelanggan dan kerajaan menuntut setiap agensi untuk berfikir di luar kotak.
Justeru, beliau menyifatkan usaha dan idea bernas yang dibentangkan sepanjang konvensyen kali ini membuktikan bahawa warga kerja kementerian memiliki potensi besar untuk menyumbang idea inovatif yang bukan sahaja menjimatkan kos dan masa, tetapi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian secara menyeluruh.
“Jika tidak, kita pasti akan tetap berada di takuk lama sedangkan kini dunia beralih kepada kecerdasan buatan (AI).
“Seiring peningkatan teknologi semasa, inovasi bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan terutama dalam sektor awam.
“Dengan melaksanakan inovasi, kita dapat memastikan perkhidmatan yang disampaikan menepati kehendak pelanggan dan rakyat yang semakin kompleks,” katanya.
Konvensyen KIK Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Tahun 2026 disertai oleh 31 Kumpulan KIK yang terdiri daripada Jabatan Tanah dan Survei, Jabatan Hutan Sarawak, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak, Perbadanan Kemajuan dan Perusahaan Kayu Sarawak, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak dan Sarawak Forestry Corporation.


