ARTIKEL

Anthony Loke menyampaikan surat tamat perkhidmatan kepada pengurus besar Lembaga Pelabuhan Bintulu, Kapten Zakhir Khan Yusop.

Insentif khas dua bulan gaji kepada warga LPB susulan pengambilalihan oleh Kerajaan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Kementerian Pengangkutan (MOT) meluluskan insentif khas bersamaan dua bulan gaji secara prorata serta bayaran sekali sahaja bagi 2026 kepada kakitangan tetap dan kontrak Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) yang layak susulan pengambilalihan institusi itu oleh Kerajaan Sarawak.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, insentif berkenaan diberikan sebagai tanda penghargaan ke atas kesetiaan, profesionalisme dan komitmen warga LPB yang memainkan peranan penting dalam membangunkan serta memajukan institusi itu sepanjang 47 tahun di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata kebajikan warga LPB sentiasa menjadi antara keutamaan kementerian sepanjang proses peralihan pentadbiran pelabuhan berkenaan kepada Kerajaan Sarawak.

“Kita mahu setiap warga LPB mengetahui bahawa usaha mereka dilihat, sumbangan mereka dihargai dan kebajikan mereka sentiasa diberikan perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perpisahan LPB daripada Kerajaan Persekutuan, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Penyerahan Surat Persaraan Kakitangan LPB di sini, malam tadi.

Anthony Loke berkata kementerian memahami bahawa proses pengambilalihan berkenaan boleh menimbulkan pelbagai persoalan dan kebimbangan dalam kalangan kakitangan, khususnya berkaitan kedudukan perkhidmatan, jaminan pekerjaan, kebajikan keluarga serta hala tuju kerjaya mereka.

Menurutnya, warga LPB bukan sekadar sebahagian daripada struktur pentadbiran, sebaliknya individu yang telah mencurahkan tenaga, kepakaran dan sebahagian besar kehidupan mereka untuk membina serta mengembangkan institusi berkenaan.

Beliau berkata pemberian insentif khas itu turut mencerminkan penghargaan kerajaan ke atas sumbangan warga LPB yang terus memastikan operasi pelabuhan berjalan lancar ketika organisasi berkenaan melalui antara perubahan pentadbiran terbesar dalam sejarahnya.

Tegasnya lagi, proses peralihan LPB kepada Kerajaan Sarawak perlu dilaksanakan secara teratur, berhemah dan berperikemanusiaan bagi memastikan kelangsungan operasi pelabuhan serta kepentingan dan kesejahteraan warga kerja terus terpelihara.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU