BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, berazam untuk meneruskan insentif pelajar cemerlang sebagai penghargaan dan galakan kepada pelajar meraih prestasi yang lebih tinggi.
Beliau berkata ia merupakan salah satu pendekatan penting untuk mengiktiraf usaha gigih pelajar dan memberi motivasi kepada mereka untuk terus cemerlang dalam pelajaran.
Katanya, insentif ini juga dapat menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan pelajar selain menggalakkan pencapaian akademik yang lebih baik pada masa akan datang.
“Ini juga bermatlamat untuk membantu meringankan beban kewangan pelajar atau keluarga mereka, terutamanya dalam menyediakan keperluan pembelajaran yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Graduasi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong di sini, hari ini.
Menurutnya, pelajar Tingkatan Enam di negara ini bertuah kerana bukan sahaja menikmati pengajian percuma tetapi sijil yang dimiliki mereka turut mendapat pengiktirafan pada peringkat global.
Malah katanya, pencapaian cemerlang STPM bukan sahaja pasport untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi tetapi juga berpeluang untuk melanjutkan pengajian di kebanyakan universiti terkemuka seantero dunia.
“Kebanyakan universiti luar negara menganggap keputusan STPM sama taraf dengan A-Level.
“Saya juga amat berbesar hati kerana SMK Meradong turut dibarisi guru yang sangat berpengalaman dan begitu komited,” ujarnya.


