ARTIKEL

Fatimah merakam gambar kenangan bersama-sama tetamu kehormat dan penghuni RSK Kuching sempena Majlis Bantuan Bayaran Insentif Penjagaan Warga Emas kepada Pegawai Perkhidmatan Awam di Rumah Seri Kenangan (RSK) Kuching, di sini, semalam.

Insentif RM200 sebulan jaga warga emas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperkenalkan bayaran insentif penjagaan warga emas sebanyak RM200 sebulan kepada Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri yang bertugas di institusi kebajikan sebagai penghargaan terhadap peranan mereka dalam menjaga golongan rentan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, langkah tersebut juga selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 (Lampiran E4-U40) berkaitan Bayaran Insentif Penjagaan Warga Emas, Orang Kurang Upaya (OKU), orang papa serta pesakit mental di institusi kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, pekeliling tersebut juga memperuntukkan pemberian insentif kepada Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan penjagaan dan rawatan penghuni tersebut

. “Kerajaan Sarawak setakat ini belum pernah memberi apaapa bayaran insentif kepada Pegawai Perkhidmatan Awam Sarawak yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan menjaga dan merawat warga emas, OKU, orang papa serta pesakit mental.

“Justeru, pemberian kemudahan bayaran insentif seumpama itu adalah satu penghargaan dan motivasi kepada pegawai yang bertugas di institusi penjagaan warga emas untuk terus menyampaikan perkhidmatan cekap dan berkesan

“Ini sekali gus memberi keseragaman polisi kemudahan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Bantuan Bayaran Insentif Penjagaan Warga Emas kepada Pegawai Perkhidmatan Awam di Rumah Seri Kenangan (RSK) Kuching, di sini, semalam.

Bayaran insentif berkenaan turut diberikan kepada pegawai yang bertugas di pusat jagaan warga emas meliputi Pembantu Pembangunan Masyarakat, Pembantu Khidmat Am (Pembantu Operasi), Jururawat, Jururawat Masyarakat serta jawatan lain yang tertakluk kepada deskripsi tugas masingmasing.

Menurutnya, kelulusan pemberian kemudahan Bayaran Insentif Penjagaan Warga Emas bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Sarawak yang bertugas di pusat jagaan adalah di bawah bidang kuasa Ketua Jabatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak.

“Syarat dan kelayakan bagi kemudahan ini pula berdasarkan pekeliling yang akan dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak,” ujarnya.

Beliau memaklumkan tugas dan tanggungjawab pegawai yang menjaga serta merawat penghuni warga emas di Sarawak dilaksanakan secara syif memandangkan pusat jagaan beroperasi sepanjang masa dan tidak boleh dibiarkan tanpa pengawasan.

Jelasnya lagi, pemberian insentif tersebut adalah wajar dengan mengambil kira cabaran tugas yang bukan sahaja menuntut komitmen tinggi, malah memerlukan kesabaran dalam mengurus penghuni warga emas yang mempunyai keperluan fizikal dan emosi berbeza.

“Ketika ini, Sarawak mempunyai dua pusat jagaan warga emas iaitu RSK Kuching dan RSK Sibu. Bagaimanapun, penghuni di RSK Sibu kini ditempatkan sementara di Kuching berikutan pusat berkenaan sedang menjalani kerja naik taraf,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU