ARTIKEL

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada perasmian Sidang Kemuncak Kepimpinan Kontemporari Antarabangsa 2025. Foto Ghazali Bujang

Institusi Kepimpinan bakal ditubuhkan di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak bersedia menubuhkan sebuah Institusi Kepimpinan khusus bagi memperkasa Kepimpinan Kontemporari di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata institusi tersebut bakal menjadi pemacu dalam melahirkan pemimpin yang berpandangan strategik, berintegriti dalam tadbir urus serta inklusif dalam tindakan.

“Jika Kepimpinan Kontemporari adalah jawapan kepada cabaran kepimpinan masa kini, kita mesti memastikan ia bukan sekadar konsep tetapi diamalkan secara tersusun dan berinstitusi.

“Saya berbesar hati mengumumkan bahawa sebuah Institusi Kepimpinan yang didedikasikan untuk memperkasa Kepimpinan Kontemporari akan direalisasikan di Sarawak.

“Institusi ini akan menjadi pusat transformasi kepimpinan, memastikan pemimpin masa depan bukan sahaja berkebolehan, malah beretika dan berwawasan,”* katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Kepimpinan Kontemporari Antarabangsa 2025, di sebuah hotel di sini, hari ini.

Abang Johari menegaskan bahawa kepimpinan yang lemah boleh membawa kepada ketidakstabilan, ketidaktentuan ekonomi serta hilangnya kepercayaan rakyat.

*”Namun, kita juga telah menyaksikan bagaimana kepimpinan yang berwawasan, beretika dan inklusif mampu memacu kemajuan yang mampan.

“Jurang antara kedua-dua realiti ini adalah pembangunan kepimpinan. Di sinilah peranan penting institusi ini, yang akan memperkukuh aspek penyelidikan dan pembangunan dalam kepimpinan,”* katanya.

Sehubungan itu, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Institut Pengurusan Sarawak (MASA) dan Yayasan Penyelidikan dan Pendidikan Malaysia (MyREF) atas kejayaan menandatangani Memorandum Kolaborasi pada 4 Disember 2024.

“Perjanjian ini menandakan langkah pertama ke arah memantapkan Kepimpinan Kontemporari sebagai sebuah institusi,” tambahnya.

Menurut Abang Johari, MASA akan menerajui penubuhan institusi tersebut, manakala MyREF akan memainkan peranan penting dalam merangka pendidikan kepimpinan, program latihan serta agenda penyelidikannya.

*”Pada 20 Januari 2025, MyREF telah mengukuhkan jangkauan antarabangsa melalui kerjasama dengan Markfield Institute of Higher Education di United Kingdom.

“Kerjasama ini bukan sahaja akan meningkatkan standard pendidikan kepimpinan tetapi juga menyediakan platform global bagi pertukaran amalan terbaik dan pemikiran kepimpinan.

“Ini adalah pencapaian penting yang menandakan peranan Sarawak yang semakin berkembang dalam pembangunan kepimpinan di peringkat global,”* katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU