ARTIKEL

Kredit: Bernama

Internet sekolah luar bandar, sindiket dadah TUDM tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Capaian Internet di sekolah luar bandar, penyeludupan dadah menerusi penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak antara isu yang menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang rasmi Parlimen, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) meminta penjelasan Menteri Komunikasi mengenai dasar memastikan sekolah luar bandar menikmati capaian Internet yang memenuhi Piawaian Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS).

Beliau juga ingin mengetahui pembahagian tanggungjawab antara Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pendidikan serta sama ada audit MSQoS akan diperluas kepada semua sekolah secara berkala.

Pada sesi sama, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) meminta Menteri Dalam Negeri menjelaskan mengenai sindiket penyeludupan dadah mengeksploitasi kemudahan penerbangan TUDM di Sabah sebagai laluan transit antarabangsa dan langkah kerajaan memperketat kawalan keselamatan aset ketenteraan.

Pada sesi soal jawab lisan pula, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) meminta Menteri Komunikasi menyatakan jumlah kes buli siber, eksploitasi seksual dan kandungan berbahaya terhadap kanak-kanak serta keberkesanan kerangka pelesenan platform media sosial yang berkuat kuasa sejak 1 Jan 2025.

Sementara itu, Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) meminta Menteri Komunikasi menyatakan rancangan untuk memperluas had umur media sosial kepada platform permainan dalam talian khususnya platform yang mempunyai jumlah pengguna kanak-kanak dan remaja yang tinggi.

Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) pula meminta penjelasan Menteri Kewangan mengenai strategi kerajaan memastikan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kekal kompetitif sekurang-kurangnya pada paras enam peratus memandangkan asetnya mencecah kira-kira RM1.4 trilion.

Turut menarik perhatian, permintaan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) agar Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menjelaskan mengenai sejauh mana konflik Amerika Syarikat-Iran serta gangguan laluan perdagangan di Selat Hormuz dijangka meningkatkan kos sara hidup rakyat khususnya melalui kenaikan harga minyak, kos pengangkutan, makanan dan barangan keperluan.

Selesai sesi soal jawab, Dewan Rakyat dijadual meneruskan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 di peringkat jawatankuasa yang memasuki hari terakhir, hari ini. — Bernama

BERITA LAIN

BERITA TERBARU