KUCHING: Kepimpinan Jurulatih Irfan Bakti sebagai jurulatih Kuching City FC (KC FC) masih diteruskan bagi mengharungi musim baharu 2022.
Pengerusi KC FC Fazzrudin Abdul Rahman mengesahkan jurulatih kelahiran Terengganu itu akan meneruskan perjuangannya mengemudi ‘The City Boy’ hasil daripada keputusan mesyuarat Lembaga Pengarah KC FC bersama panel kejurulatihan.
“Kita telah bersetuju mengekalkan beliau (Irfan) sebelum habis musim ini dan memberi kebebasan kepada beliau untuk menentukan staf kejurulatihan dan perancangan pemain bagi musim 2022.
“Irfan juga telah membentangkan kepada pengarah staf kejurulatihan yang beliau cadangkan serta mencadangkan beberapa pemain import tempatan dan antarabangsa,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Tambah Fazzrudin, progres untuk memuktamadkan serta menawarkan tempat kepada mana-mana pemain yang telah dipersetujui kini sedang dilakukan.
Jelasnya, persiapan awal KC FC juga terpulang kepada Irfan untuk menentukan.


