BINTULU: Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee menyerahkan kepada rakyat untuk menilai rekod perkhidmatannya sepanjang lebih dua tahun memegang amanah sebagai wakil rakyat, sambil mengakui masih banyak usaha pembangunan dan kebajikan masyarakat yang ingin diteruskannya.
Beliau berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang berkuat kuasa pada 26 Oktober lalu menandakan berakhirnya tempoh perkhidmatannya bagi penggal berkenaan, namun pengalaman berkhidmat kepada masyarakat Jepak akan sentiasa menjadi kenangan bermakna dalam kehidupannya.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu, beliau berusaha meneruskan amanah yang ditinggalkan Allahyarham Datuk Talib Zulpilip, yang berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan selama 27 tahun dan banyak menyumbang kepada pembangunan Jepak.
“Dalam hati, saya tahu masih banyak yang perlu dilakukan.
Masih ada usaha yang belum selesai dan harapan yang menunggu untuk ditunaikan.
Seandainya ada masa yang lebih panjang, tentulah banyak lagi yang ingin saya usahakan.
“Namun, setiap amanah ada tempohnya.
Saya akur dengan masa yang telah ditetapkan dan bersyukur atas setiap hari yang diberikan kepada saya untuk berkhidmat,” katanya dalam kenyataan susulan pembubaran DUN Sarawak.
Iskandar berkata, beliau menerima tanggungjawab menyambung khidmat Allahyarham dengan penuh rasa hormat, menyedari besarnya sumbangan dan pengorbanan Allahyarham dalam membangunkan kawasan N.67 Jepak.
Menurutnya, Allahyarham bukan sekadar seorang wakil rakyat, malah individu yang telah lama bersama-sama masyarakat dan meninggalkan legasi pembangunan yang memberi kesan kepada kehidupan penduduk setempat.
Sehubungan itu, Iskandar berkata, rakyat kini mempunyai ruang untuk menilai segala usaha, khidmat dan sumbangan yang telah diberikan sepanjang beliau memegang amanah berkenaan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas kepercayaan, bimbingan dan sokongan yang diberikan kepada beliau serta Allahyarham Talib.
Untuk rekod, Iskandar dipilih sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.67 Jepak pada 18 Oktober 2023 susulan pemergian penyandangnya, Allahyarham Datuk Talib Zulpilip pada 15 September tahun sama.
Beliau memenangi PRK berkenaan pada 4 November 2023 dengan memperoleh 9,638 undi dan majoriti 8,784 undi.




