ARTIKEL

Abdul Karim ditemui selepas melancarkan Sarawak Youth Start-Up (SYS) 2024 di DUN Sarawak di Kuching, hari ini.

Isu dakwaan pencerobohan tanah di Kampung Tambirat akan diselesaikan dengan baik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, memberi jaminan bahawa isu berhubung dakwaan pencerobohan tanah yang melibatkan pembinaan rumah dan surau di Kampung Tambirat, Asajaya, akan diselesaikan dengan baik.

Semalam tular di laman sosial apabila seorang lelaki warga emas, Tan Khi Mong, 67 yang juga pemilik berdaftar ke atas tanah seluas 1.901 hektar itu, menyatakan dia terkejut selepas mendapati 10 rumah kediaman dan sebuah surau telah dibina di atas tanah tersebut.

Katanya, dia tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana individu untuk membina atau membangunkan rumah di tanah yang diklasifikasikan sebagai ‘mixed-zone land’ itu.

Ia dikatakan dibelinya pada 2014, dan dia menyedari ia diceroboh pada 12 Mac 2023.

Abdul Karim berkata beliau akan berhubung dengan Premier Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta Jabatan Tanah dan Survei (JTS) sebagai usaha untuk menyelesaikan isu tersebut dengan baik.

“Sudah pasti saya tidak ingin melihat tempat kita beribadat dirobohkan, kerana ia akan menyebabkan masalah besar sekali gus mungkin boleh menimbulkan isu perkauman, agama dan lain-lain.

“Walapun isu ini telah dibawa ke mahkamah, saya sudah berbincang dengan peguam yang bertanggungjawab supaya kes ini tidak diperbesarkan dan berharap mahkamah juga meneliti perkara ini dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Sarawak Youth Start-Up (SYS) 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Tambahnya, meskipun sudah lama menjadi wakil rakyat di sana, beliau tidak tahu tentang isu tersebut kerana tidak ada orang yang tampil untuk memaklumkan perkara berkenaan kepadanya.

“Perkara ini sudah pergi ke mahkamah dan saya melihat ia sebagai subjudis, dan saya juga tidak akan mengulas lebih mendalam isu tanah ini.

“Apa yang saya tahu, sebelum ini tidak pernah berlaku isu sedemikian di kawasan Asajaya.

“Sudah berpuluh-puluh tahun saya menjadi wakil rakyat di sana, tiada orang yang membawa isu seperti ini kepada saya,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU