KUCHING: Isu pulangan dividen Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) kepada peserta di Sarawak perlu diberi perhatian serius memandangkan ramai masih menerima dividen bersih yang kecil walaupun syarikat itu mencatat prestasi kewangan memberangsangkan.
ADUN Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, antara faktor utama yang menyebabkan keadaan tersebut ialah potongan hutang pembangunan ladang yang masih tinggi.
“Pada Mac 2026 FELCRA Berhad mengumumkan agihan keuntungan sebanyak RM302.9 juta kepada 71,680 peserta di seluruh negara bagi tahun kewangan berakhir Disember 2025 dengan kadar dividen sebanyak 15 peratus yang disifatkan sebagai prestasi kedua terbaik dalam sejarah 60 tahun.
“Ramai peserta di Sarawak masih meluahkan rasa tidak puas hati kerana jumlah dividen bersih yang diterima agak kecil.
“Ini kerana banyak projek FELCRA di negeri ini masih berada dalam fasa pembayaran balik kos pembangunan ladang menyebabkan dividen yang diterima peserta menjadi kecil selepas ditolak hutang tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Selain itu ujarnya, saiz projek yang kecil bawah 50 hektar dan bertaburan turut menyukarkan pengurusan kos termasuk aspek logistik dan sistem pengairan sekali gus mengurangkan margin keuntungan.
“Terdapat juga laporan daripada peserta khususnya di kawasan Sibu yang mendakwa mereka hanya menerima dividen beberapa kali sahaja sepanjang puluhan tahun operasi FELCRA,” ujarnya.
Tambahnya, isu dividen FELCRA di Sarawak bukan semata-mata berpunca daripada kegagalan syarikat mencatat keuntungan, tetapi lebih kepada struktur kos dan hutang lama yang terus membelenggu peserta luar bandar.
“Berdasarkan laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan pada Julai 2025, terdapat beberapa dapatan kritikal dan ketakteraturan serius melibatkan FELCRA Berhad khususnya dari aspek tadbir urus dan pengurusan perolehan.
“Ia termasuk kelemahan dalam pengurusan seperti kegagalan mematuhi jadual pembajaan dan pusingan penuaian serta isu pekerja asing yang tinggal melebihi tempoh sah laku Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan kegagalan mencapai sasaran pengurangan kos pentadbiran,” katanya.
“Jika Sarawak mahu menjadi pusat pertanian berteknologi tinggi, model pengurusan tanah seperti FELCRA perlu dirombak supaya keuntungan syarikat benar-benar selari dengan kemakmuran rakyat luar bandar,” tegasnya.


