ARTIKEL

Fatimah merakam kenangan bersama Ahli Lembaga Penasihat Tempat Transit Gelandangan (TTG) Sarawak di Kuching, hari ini.

Isu gelandangan perlu ditangani secara bersepadu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seramai 151 individu direkodkan melalui operasi berkaitan orang papa di seluruh Sarawak sepanjang 2025, dengan Sibu mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 33 orang.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, jumlah berkenaan menunjukkan keperluan untuk memperkukuh pendekatan intervensi secara bersepadu dalam menangani isu gelandangan di negeri ini.

Menurutnya, selain Sibu, Kuching merekodkan 15 orang, diikuti Miri dengan 14 orang dan Kapit 13 orang, sekali gus menunjukkan isu berkenaan memerlukan pendekatan yang bersesuaian mengikut keadaan setiap bahagian.

“Isu sosial seperti gelandangan sangat rumit dan kompleks untuk ditangani secara silo. Kolaborasi, kerjasama dan penyelarasan strategik secara bersepadu antara agensi amat penting dan perlu terus diperkukuh,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Penasihat Tempat Transit Gelandangan (TTG) Sarawak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada keadaan gelandangan ialah kemiskinan melibatkan 23 orang, ketiadaan pekerjaan (20), ketiadaan tempat tinggal (14), dibuang keluarga (enam), masalah kesihatan mental (enam), penagihan dadah (dua) serta seorang bekas banduan.

“Bagi baki rekod yang lain, tiada data khusus direkodkan berhubung punca mereka menjadi gelandangan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, TTG perlu dilihat bukan sekadar sebagai tempat perlindungan sementara, sebaliknya berfungsi sebagai platform intervensi dan rujukan bagi membantu golongan berkenaan mendapatkan sokongan yang bersesuaian.

“Sedaya upaya, kita mahu membantu mereka kembali kepada keluarga dan komuniti atau menjalani kehidupan yang lebih stabil dan berdikari,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat Julai lalu sebanyak empat TTG dibangunkan di Sarawak iaitu di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.

“Bagaimanapun, hanya dua TTG ketika ini sudah beroperasi iaitu di Sibu dan Kuching, manakala di Bintulu diharap dapat beroperasi menjelang akhir September sebaik sahaja perabot sampai.

“Bagi Miri pula, kita masih menunggu beberapa perkara termasuk perabot sebelum ia dapat beroperasi,” jelasnya.

Tambahnya, pengoperasian TTG di empat bahagian berkenaan penting bagi memperluas akses kepada perlindungan sementara, intervensi dan rujukan perkhidmatan kepada golongan yang memerlukan.

Beliau menegaskan, usaha menangani isu gelandangan memerlukan pelibatan pelbagai pihak secara berterusan supaya intervensi yang dilaksanakan tidak hanya menyelesaikan keperluan jangka pendek, tetapi turut membantu individu terbabit membina semula kehidupan yang lebih stabil.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU