ARTIKEL

Nancy beramah mesra ketika hadir pada Program Motivasi dan Bimbingan Peluang Pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Bako.

Isu kerusi Parlimen: Kerajaan fokus formula nisbah, bukan jumlah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan kini menumpukan perbincangan mengenai penambahan perwakilan Parlimen Sabah dan Sarawak kepada formula nisbah satu pertiga berbanding menetapkan jumlah kerusi tertentu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau menjelaskan, perkara itu telah dibincangkan antara Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memberikan penekanan kepada kaedah pewujudan formula nisbah itu dan bukannya bilangan kerusi.

Nancy beramah mesra ketika hadir pada Program Motivasi dan Bimbingan Peluang Pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Bako.

“Ia perlu dibincangkan bersama dari segi perundangannya; apabila Singapura keluar daripada Malaysia, formula satu pertiga itu telah dikosongkan, jadi bagaimana formula tersebut diwujudkan semula perlu dibincangkan,” katanya ketika mengulas mengenai perkara tersebut.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penutupan Program Motivasi dan Bimbingan Peluang Pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bako di sini, hari ini.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, beliau bersama Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah menyuarakan isu perwakilan Sabah dan Sarawak di peringkat Parlimen dan Kabinet, namun fokus ketika ini tertumpu kepada kerusi Dewan Undangan Negeri.

“Tetapi dari segi kerusi Parlimen memang kita belum menyuarakannya secara khusus kerana kita menumpukan perhatian lebih kepada kerusi negeri,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, isu 17 kerusi tambahan itu telah dibangkitkan di peringkat Parlimen dan Kabinet, yang telah mendapat respons daripada Perdana Menteri.

“Apabila sudah disentuh oleh pihak Majlis Perundingan Malaysia 1963 (MA63), kita akan mendengar dahulu apa yang menjadi formulanya,” tambah Nancy.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 25 September menafikan dakwaan bahawa terdapat cadangan untuk meningkatkan kerusi Parlimen Sarawak daripada 31 kepada 46.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, SPR ketika ini hanya menyediakan syor bagi Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya Sarawak Ketujuh yang sedang dipamerkan kepada umum dan tiada cadangan rasmi berhubung penambahan jumlah kerusi seperti didakwa.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU