KUCHING: Pendekatan membawa isu minyak dan gas ke mahkamah bukan bertujuan mencetuskan konflik, sebaliknya untuk mendapatkan kejelasan undang-undang serta panduan yang adil dalam menyelaraskan perundangan antara Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, mahkamah diminta memberikan penjelasan undang-undang yang sepatutnya digunakan dalam menangani isu berkenaan bagi memastikan terdapat arahan jelas dalam usaha menyamaratakan undang-undang Sarawak dengan undang-undang Persekutuan.
“Ini bukan pergaduhan besar, tetapi satu proses bagi mahkamah menentukan secara adil bagaimana undang-undang perlu ditafsirkan, seterusnya mencari penyelesaian bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Townhall: MA63 dan Hubungan Persekutuan sempena Seminar Kenegaraan Malaysia Madani di kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Petra Jaya, hari ini yang dihadiri kira-kira 300 pemimpin komuniti terdiri daripada pemanca, temenggong, penghulu dan ketua masyarakat di Kuching.
Dalam pada itu, Hasidah turut mengakui bahawa perbincangan hak-hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berdepan cabaran besar, khususnya akibat perbezaan interpretasi serta kekurangan kefahaman.
Bagaimanapun, katanya hubungan antara Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan kekal baik walaupun terdapat perbezaan pandangan, dengan semua isu dibincangkan secara diplomasi melalui struktur jawatankuasa yang tersusun sehingga ke peringkat tertinggi Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.
Mengulas lanjut, Hasidah berkata perjuangan mempertahankan hak Sarawak di bawah MA63 merupakan hasil kebijaksanaan pemimpin terdahulu yang melalui pelbagai cabaran sejak zaman penjajahan.
“Walaupun ketika itu tidak mempunyai pendidikan tinggi, mereka mempunyai wawasan jauh dan kebijaksanaan untuk memahami kepentingan hak-hak ini demi masa depan Sarawak,” katanya.
Katanya hasil perjuangan itu, Sarawak berjaya mengenakan cukai lima peratus ke atas produk petroleum yang dieksport dan menjana sebanyak RM3 bilion dana tambahan sejak 2024, sekali gus memperkukuh kedudukan kewangan negeri.
Jelasnya, hasil itu turut menyumbang kepada peningkatan pendapatan negeri yang mencecah RM14.2 bilion, yang secara tidak langsung menjadi antara pencapaian terbesar Sarawak dalam rundingan MA63.
Justeru, Hasidah berkata dana tambahan yang diperoleh itu dimanfaatkan untuk pelaksanaan pelbagai projek pembangunan serta bantuan kepada rakyat, antaranya termasuk pembinaan 20 jambatan di seluruh Sarawak dan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS).
Namun, beliau menjelaskan masih terdapat beberapa perkara berkaitan MA63 yang belum dimuktamadkan dan masih dalam proses rundingan.

